Penghantar notis MBS didakwa terima suapan RM1,800

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 2:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penghantar notis MBS didakwa terima suapan RM1,800

SEREMBAN – Seorang penghantar notis Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan RM1,800 sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kerja pengubahsuaian rumah tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan itu.

Tertuduh, T. Selvakumar, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang RM1,800 melalui akaun Maybank miliknya pada 18 Jun 2024.

Wang itu didakwa diterima sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mengganggu atau mengambil sebarang tindakan berhubung kerja pengubahsuaian rumah milik K. Devaraja di No. 456, Jalan Mutiara Galla 12, Taman Mutiara Galla, Jalan Labu, yang dilakukan tanpa kelulusan MBS.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ketika prosiding, peguam M. Siveram yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira pendapatan anak guamnya sebanyak RM2,900 sebulan sebagai penghantar notis serta tanggungan keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syairah Aqilah Khalil memohon jaminan sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat supaya dia melaporkan diri pada minggu kedua setiap bulan kepada SPRM sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

The post Penghantar notis MBS didakwa terima suapan RM1,800 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved