
JABATAN Kerja Raya (JKR) sedang memeriksa keadaan jalan di Papar manakala pemaju sebuah perumahan di Penampang, luar Jalan Bantayan-Minintod akan meningkatkan usaha untuk membaiki bahagian jalan yang rosak dalam kawasan perumahan berkenaan.
Tindakan itu susulan aduan seorang pemandu dari Taman Vila Intan di Papar dan seorang lagi dari Country Heights Apartments di Penampang mengenai kesulitan yang dihadapi akibat jalan berlubang di laluan menuju ke kawasan kediaman mereka.
SEBANYAK sembilan tan aspal digunakan untuk menampal jalan di dalam kawasan Country Heights Apartments.Jurucakap JKR berkata pemeriksaan akan dijalankan di Jalan Kelanahan bagi mengesahkan aduan yang dibangkitkan pemandu terbabit.
“Sekiranya dakwaannya benar, tindakan akan diambil untuk menangani keadaan jalan berkenaan.
“Pihak konsesi yang dilantik untuk menyelenggara laluan itu akan dimaklumkan mengenai hasil pemeriksaan dan diminta menjalankan kerja pembaikan yang perlu secepat mungkin,” katanya.
Bagaimanapun jurucakap itu enggan mengulas lanjut mengenai kekerapan kerja penyelenggaraan dijalankan di jalan berkenaan.
Sementara itu Vitus dari Papar berkata keadaan Jalan Kelanahan menyukarkan pengguna jalan raya untuk menuju ke Taman Vila Intan berikutan sebahagian permukaan asfalt di satu sisi jalan itu telah rosak dan terhakis.
“Saya rasa kereta saya bergegar teruk apabila melalui permukaan jalan yang tidak rata sehingga kadang-kadang jantung saya berdegup kencang.
“Mustahil untuk mengelak lubang-lubang itu kerana bahagian jalan yang rosak sudah menjadi agak luas,” ujarnya.
Menurutnya pemandu kadangkala terpaksa bergilir-gilir menggunakan bahagian jalan yang terjejas bagi mengelakkan bahagian bawah kenderaan mereka rosak.
“Jika kami nampak ada kenderaan datang dari arah bertentangan, kami akan berhenti dan membiarkan mereka lalu terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan,” tambahnya.
Beliau berkata keadaan jalan itu semakin teruk secara beransur-ansur dan masalah berkenaan telah berlaku selama bertahun-tahun.
Vitus melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kekurangan kerja penyelenggaraan yang dijalankan di laluan berkenaan. Beliau berpendapat keadaan jalan yang teruk itu membahayakan pengguna jalan raya dan berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan sebelum berlaku kejadian tidak diingini.
“Saya sudah menyuarakan kebimbangan kepada Majlis Daerah tetapi setakat ini tiada tindakan diambil untuk memperbaiki keadaan laluan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu jurucakap Majlis mengesahkan jalan berkenaan memang mengalami kerosakan berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan sejurus selepas pihak berkuasa berkenaan dihubungi media.
PEMANDU terpaksa bergilir-gilir ketika melalui bahagian Jalan Kelanahan ini kerana sebahagian besar permukaan aspal di satu sisi jalan telah rosak dan terhakis.“Bagaimanapun kami tidak dapat campur tangan kerana Jalan Kelanahan tidak disenaraikan dalam daftar jalan kami.
“Perkara yang boleh kami lakukan ialah memaklumkan kepada JKR mengenai aduan pemandu berkenaan kerana laluan itu diselenggara oleh salah satu syarikat konsesi jabatan berkenaan,” maklumnya.
Sementara itu syarikat pengurusan (MC) bagi Country Heights Apartments baru-baru ini menampal lubang di antara pondok pengawal perumahan itu dan Blok 2A.
Jurucakap MC berkata sebanyak sembilan tan asfalt dihantar ke kawasan perumahan itu secara berperingkat bagi membolehkan kerja membaiki jalan antara blok-blok berkenaan dilaksanakan.
“Pasukan lima pekerja menabur aspal di kawasan bermasalah sebelum bahan itu dipadatkan.
“Seorang kakitangan kami kemudian membuat pemeriksaan di seluruh kawasan perumahan bagi memastikan kerja pembaikan yang dilakukan berada dalam keadaan baik,” ujarnya.
Katanya siasatan awal mendapati kerosakan jalan berpunca daripada air hujan yang bertakung di laluan berkenaan ketika hujan lebat.
“Kami sedang mempertimbangkan kemungkinan menggantikan paip di bawah jalan dengan paip baharu yang mempunyai lubang saliran.
“Ini mungkin membolehkan air larian dialirkan dengan lebih berkesan ke longkang monsun terdekat,” tambahnya.
Beliau berkata jalan berkenaan akan diturap semula sepenuhnya dari hujung ke hujung selepas masalah sistem saliran diselesaikan.
Avery dari Penampang pula melahirkan rasa kecewa terhadap keadaan jalan berhampiran blok apartmennya yang dipenuhi lubang.
“Kakitangan MC sering memberi jaminan kepada saya bahawa laluan itu akan dibaiki.
“Tetapi mereka terlalu mengambil mudah dalam menunaikan janji.
“Apa gunanya kami membayar yuran pengurusan jika mereka tidak bersungguh-sungguh menangani aduan kami,” tegasnya.
Avery memaklumkan dirinya membayar RM70 sebulan kepada syarikat berkenaan untuk tujuan itu.
Beliau turut memberikan lokasi apartmennya kepada Hotline sebelum maklumat itu diserahkan kepada pihak MC.



