Guna cukai jalan baiki jalan rosak

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Guna cukai jalan baiki jalan rosak

PETALING JAYA: Hasil kutipan daripada pengguna jalan raya termasuk cukai jalan sepatutnya dimanfaatkan bagi membiayai penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur jalan raya yang rosak.

Ini kerana pada 2025, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM5.65 bilion meningkat 6.05 peratus berbanding RM5.33 bilion pada 2024.

Pembaharuan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) pula menjadi penyumbang terbesar iaitu lebih 60 peratus.

Kementerian Kerja Raya (KKR) pula memerlukan hampir RM4 bilion setahun bagi menyelenggara, membaik pulih dan menaik taraf jalan raya di seluruh negara secara menyeluruh.

Oleh itu, tugas mengutip LKM wajar dipindahkan kepada KKR supaya hasil itu dapat disalurkan secara langsung bagi membiayai kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan raya.

Pengasas dan Penasihat Ke­selamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, hasil cukai yang dikutip daripada pengguna jalan raya wajar dimanfaatkan secara jelas bagi menoktahkan masalah jalan berlubang dan rosak yang telah mengorbankan banyak nyawa.

Katanya, rakyat berhak me­ngetahui sejauh mana hasil yang dibayar kepada kerajaan diterjemahkan kepada peningkatan ke­selamatan serta kualiti infrastruktur jalan raya.

“Saya berpandangan perlu ada hubungan yang lebih jelas antara hasil dikutip daripada pengguna jalan raya dengan tahap penyelenggaraan serta keselamatan infrastruktur.

“Ini bukan bermaksud setiap ringgit yang dikutip mesti dikembalikan secara terus kepada jalan tertentu tetapi rakyat berhak mengetahui berapa yang dikutip, berapa yang diperuntukkan, bagaimana keutamaan ditentukan dan apakah hasil sebenar daripada perbelanjaan tersebut.Ini soal ketelusan dan akauntabiliti penggunaan wang awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, keadaan aset jalan raya yang semakin berusia termasuk permukaan jalan, turapan dan te­rowong menjadi antara cabaran utama kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebahagian jalan raya di negara ini sudah berusia dan tidak lagi mempunyai kekuatan seperti ketika mula dibina sekali gus lebih terdedah kepada kerosakan.

Menurut Jamil, masalah jalan rosak tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu kekura­ngan peruntukan kerana keberkesanan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan penyelenggaraan turut perlu diberi perhatian.

Katanya, peruntukan penyelenggaraan jalan juga wajar diagihkan berdasarkan tahap risiko dan bukannya hanya berdasarkan jumlah aduan yang diterima dengan lokasi berisiko tinggi menyebabkan kematian atau kecederaan serius diberikan keutamaan.

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme dana khas penyelenggaraan jalan yang telus bagi memastikan sebahagian hasil berkaitan penggunaan ken­deraan diperuntukkan secara jelas untuk penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata, mekanisme itu penting supaya pengguna dapat melihat bagaimana hasil ber­kenaan dibelanjakan.

Beliau menyokong supaya sebahagian hasil berkaitan penggunaan kenderaan dikaitkan dengan penyelenggaraan jalan namun tidak semua hasil Lesen Kende­raan Motor (LKM) perlu digunakan untuk tujuan tersebut.-UTUSAN.

The post Guna cukai jalan baiki jalan rosak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved