PBT perlu bangun sukan ikut kekuatan, kemudahan dan potensi setempat

27 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PBT perlu bangun sukan ikut kekuatan, kemudahan dan potensi setempat

SHAH ALAM, 27 OGOS: Pelaksanaan inisiatif ‘satu sukan satu pihak berkuasa tempatan (PBT)’ menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) perlu mengambil kira kekuatan agensi pentadbiran negeri itu sebelum sesuatu sukan dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Penganalisis dan pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata antara yang perlu dinilai termasuk infrastruktur sukan, bakat, minat komuniti serta faktor bandar dan luar bandar dalam kawasan PBT tersebut.

Jelasnya, PBT yang mempunyai kemudahan dan potensi besar wajar diberi peluang membangunkan dua hingga tiga jenis sukan berbanding hanya ‘satu sukan satu PBT’.

“Kalau PBT itu kuat, contohnya MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), boleh letakkan dua atau tiga sukan yang sesuai dengan kekuatan dan kemudahan yang ada.

“Tidak semua PBT mempunyai kemudahan dan bakat yang sama. Jadi, kita kena lihat apa kekuatan mereka sebelum menentukan sukan yang sesuai untuk dibangunkan,” katanya kepada Media Selangor.

Dr Pekan yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, program yang diteraju RS-2 itu penting bagi meneruskan legasi pencapaian Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA).

Katanya, perancangan awal perlu dibuat bagi memastikan Selangor mampu mengekalkan prestasi dan mempertahankan kejayaan pada edisi SUKMA akan datang, terutama selepas muncul juara baru-baru ini.

“PBT juga boleh diberikan tanggungjawab untuk membangunkan sukan tertentu sehingga ia menjadi identiti atau jenama kawasan berkenaan. Ini boleh dijadikan KPI (petunjuk prestasi utama) kepada PBT,” tambahnya.

Namun tegasnya, PBT perlulah menunjukkan usaha dan pencapaian terlebih dahulu sebelum menerima sokongan peruntukan daripada Kerajaan Negeri.

“Kalau PBT buat kerja, bangunkan sukan, lahirkan bakat dan tunjukkan keputusan, barulah pengagihan peruntukan boleh diberikan berdasarkan prestasi.

“Pendekatan itu secara tidak langsung membolehkan setiap PBT merancang program sukan komuniti dengan lebih teratur, berfokus dan mampan,” katanya lagi.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar mengumumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan momentum penganjuran SUKMA melalui penekanan 'satu sukan satu PBT' bagi menggalakkan rakyat Selangor mengamalkan gaya hidup aktif.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu akan memformalisasikan pembangunan sukan komuniti di peringkat PBT sekali gus memperkukuh ekosistem sukan akar umbi secara bersepadu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved