Kembangkan model bapa angkat sukan bangunkan bakat baharu

27 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kembangkan model bapa angkat sukan bangunkan bakat baharu

SHAH ALAM, 27 OGOS: Model bapa angkat yang diguna pakai terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 akan dikembangkan bagi memperkukuh ekosistem sukan negeri.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata PBT bukan hanya penyumbang kewangan semata-mata sebaliknya rakan pembangunan kepada persatuan dan masyarakat sukan secara berterusan melalui model itu.

Katanya, ia mampu mewujudkan hubungan pembangunan jangka panjang antara PBT dengan persatuan sukan terutama aspek kemudahan, penganjuran, pembangunan bakat dan sokongan kepada atlet.

Image from: Kembangkan model bapa angkat sukan bangunkan bakat baharu
EXCO Belia Sukan, Najwan Halimi dan Ketua Yayasan MBI dan Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat bagi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyampaikan sumbangan tajaan kepada Persatuan Memanah Negeri Selangor ketika Majlis Serahan Sumbangan Atlit Sukan Yayasan MBI di Ibupejabat Menteri Besar Incorporated (MBI), Shah Alam pada 9 September 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata negeri tidak mahu menetapkan setiap PBT mengambil satu sukan tertentu secara rigid dalam konsep satu sukan satu PBT yang terkandung dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

“Sebaliknya, pengkhususan sukan bagi setiap PBT perlu mengambil kira kekuatan, kemudahan, komuniti, persatuan serta potensi sukan di kawasan masing-masing.

“Langkah ini membolehkan peranan PBT disesuaikan dengan keperluan setempat selain mengelak pertindihan dalam pembangunan sukan antara 12 PBT,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam RS-2 yang dibentang 7 Ogos, Selangor mahu meneruskan momentum penganjuran SUKMA melalui penekanan satu sukan satu PBT bagi menggalakkan penduduk negeri mengamal gaya hidup aktif.

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, inisiatif itu membantu pembangunan sukan kemasyarakatan pada peringkat PBT sekali gus memperkukuh ekosistem sukan akar umbi.

Semasa penganjuran SUKMA 2026, semua 12 PBT di Selangor menjadi bapa angkat kepada sukan tertentu bagi memastikan kelancaran perjalanan acara sepanjang temasya selama 14 hari.

Najwan berkata Kerajaan Negeri juga mahu kemudahan yang dinaik taraf sempena SUKMA terus dimanfaat melalui latihan berkala, liga komuniti, kejohanan sekolah dan pencarian bakat.

Katanya lagi, pendekatan tersebut selari usaha memastikan pelaburan terhadap kemudahan sukan sempena temasya itu membawa manfaat jangka panjang kepada orang ramai dan pembangunan atlet.

“Kejayaan SUKMA 2026 tidak seharusnya diukur menerusi penganjuran dan pencapaian pingat sebaliknya turut dilihat berdasarkan legasi pembangunan sukan yang dapat diteruskan selepas temasya berakhir,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved