sarah28/10/2026 - 08:24 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan dan menyita akaun dagangan saham serta akaun bank bernilai keseluruhan kira-kira RM409.21 juta menerusi Op Viking, susulan siasatan terhadap dakwaan kewujudan sindiket 'mafia korporat' di Malaysia.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, setakat 25 September 2026, tindakan itu melibatkan 417 akaun Central Depository System (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai kira-kira RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.62 juta.
Selain pembekuan dan penyitaan akaun berkenaan, PDRM turut menyita lapan bidang hartanah dan 11 kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat.
Menurut kementerian itu, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan, manakala beberapa individu turut ditahan bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, KDN menjelaskan bahawa tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti dalam kalangan saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan berkenaan.
"Berdasarkan kepada latar belakang dan identiti individu-individu saksi yang telah dipanggil untuk rakaman percakapan, tiada pegawai SPRM terlibat atau pun dikenal pasti bagi tujuan membantu siasatan," menurut KDN dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai status siasatan PDRM terhadap dakwaan 'mafia korporat', termasuk penglibatan pegawai agensi penguatkuasaan dan kemungkinan penyalahgunaan kuasa.
KDN menjelaskan, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM telah membuka kertas siasatan pada 14 Oktober 2025 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Sebelum ini, DagangNews.com pada 26 Oktober melaporkan kerajaan akan mendedahkan kepada umum hasil siasatan pasukan petugas khas berhubung dakwaan 'mafia korporat' yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pasukan itu diberikan tempoh tiga bulan untuk melengkapkan siasatan bagi memastikan ketelusan dan mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
KDN menegaskan bahawa siasatan Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan kertas siasatan, dengan PDRM komited menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.- DagangNews.com






