Polis beku, sita RM409 juta aset milik mafia korporat - Saifuddin

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 12:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis beku, sita RM409 juta aset milik mafia korporat - Saifuddin
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membeku dan menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM409.21 juta dalam siasatan Op Viking berhubung dakwaan kewujudan 'mafia korporat’ di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu melibatkan 404 akaun bank bernilai kira-kira RM85.62 juta, 417 akaun sistem depositori pusat (CDS) dan 70 akaun dagangan saham berjumlah RM323.59 juta.

Selain itu, sebanyak lapan bidang hartanah dan 11 kenderaan turut dikenakan tindakan pembekuan dan penyitaan.

"Setakat 25 September 2026, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkenaan.

"Berdasarkan kepada latar belakang dan identiti individu-individu saksi yang telah dipanggil untuk rakaman percakapan, tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat atau pun dikenal pasti bagi tujuan membantu siasatan," katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, pada Rabu.

Saifuddin Nasution turut memaklumkan, siasatan dijalankan susulan laporan Bloomberg pada 12 Februari 2026 yang mendakwa wujudnya 'mafia korporat' di Malaysia, termasuk dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh agensi penguat kuasa bagi menekan ahli perniagaan menjual saham syarikat pada harga rendah bagi tujuan penguasaan syarikat.

Menurut beliau, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM telah membuka kertas siasatan pada 14 Oktober 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

"Pada masa ini, siasatan Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan kertas siasatan.

"KDN memberi jaminan bahawa PDRM komited melaksanakan siasatan ini mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved