
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memfailkan permohonan prosiding inkues dalam tempoh dua hari lagi bagi menentukan punca dan sebab kematian tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka pada November lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M. Kumar berkata, keputusan untuk mengadakan inkues sudah dibuat dan akan dilaksanakan mengikut prosedur mahkamah bagi mendapatkan tarikh pendengaran serta tindakan lanjut.
“Keputusan telah dibuat untuk inkues. Kita akan fail untuk inkues dalam dua hari lagi untuk mendapatkan tarikh dan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan polis berhubung kejadian itu sudah dilengkapkan buat masa ini dan akan diteruskan mengikut keperluan sepanjang proses inkues.
“Kita sudah melengkapkan siasatan buat masa ini. Keputusan telah dibuat untuk inkues.
“Proses inkues akan berjalan seperti kes di Sabah, adik Zara Qairina Mahathir dan ia akan melalui proses mahkamah yang menyeluruh,” katanya.
Kumar berkata, semua anggota polis yang terbabit dalam insiden berkenaan akan dipanggil sebagai saksi dalam prosiding inkues.
Dalam kejadian pada 24 Nov tahun lepas, tiga lelaki berusia antara 24 dan 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka didakwa menyerang seorang pegawai polis menggunakan parang.
Siasatan pada mulanya dibuka bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Bagaimanapun, pada Disember, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
AGC pada 20 Julai lalu mengarahkan prosiding inkues dilakukan bagi menyiasat kes kematian tiga individu tersebut.
Inkues tersebut dijalankan mengikut Seksyen 339(1) Kanun Acara Jenayah selepas mempertimbangkan keseluruhan keterangan dan dapatan siasatan polis. – KOSMO! ONLINE
The post PDRM fail inkues kes tembak Durian Tunggal appeared first on Kosmo Digital.






