
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memfailkan permohonan bagi prosiding inkues selewat-lewatnya Khamis ini berhubung kes kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar, berkata, keputusan untuk mengadakan inkues sudah dibuat dan proses itu akan berjalan mengikut prosedur mahkamah
Katanya, permohonan akan dibuat dalam tempoh dua hari lagi bagi mendapatkan tarikh pendengaran serta tindakan lanjut.
“Keputusan telah dibuat untuk inkues. Kita akan fail untuk inkues dalam dua hari lagi untuk mendapatkan tarikh dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Ditanya sama ada siasatan polis akan dihentikan sepanjang prosiding inkues berlangsung, beliau berkata, siasatan polis sudah diselesaikan buat masa ini.
“Kita sudah melengkapkan siasatan buat masa ini. Keputusan telah dibuat untuk inkues. Proses inkues akan berjalan seperti kes di Sabah, adik Zara Qairina Mahathir dan ia akan melalui proses mahkamah yang menyeluruh
“Semua polis yang terbabit akan dipanggil sebagai saksi dalam prosiding berkenaan,” katanya.
Tambahnya, status pegawai dan anggota polis terlibat buat masa ini tidak aktif bertugas.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan satu prosiding inkues diadakan bagi menyiasat kematian tiga individu dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu.
AGC dilaporkan berkata, prosiding inkues itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian serta meneliti fakta dan keadaan yang membawa kepada kematian itu termasuk mengenal pasti sama ada wujud atau tidak sebarang unsur jenayah berhubung kematian tiga individu berkenaan.
Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, kira-kira 4 pagi.
Insiden berkenaan menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an itu mengalami kecederaan serius pada lengan kiri. – UTUSAN
The post PDRM akan fail permohonan tarikh prosiding inkues kes tembakan Durian Tunggal appeared first on Utusan Malaysia.






