PDRM mohon Notis Merah Interpol Kesan Tamim Dahri

LocalPolitics
15 Jul 2026 • 5:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PDRM mohon Notis Merah Interpol Kesan Tamim Dahri

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan kepada Interpol pada 8 Jun lalu bagi mengeluarkan Notis Merah (Red Notice) terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang dipercayai masih berada di luar negara, bagi mengesan lokasi beliau serta membawanya pulang untuk membantu siasatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan itu dibuat selepas PDRM memohon pembatalan pasport Tamim Dahri sebagai sebahagian daripada usaha mengesan suspek.

Menurut beliau, semakan rekod perjalanan antarabangsa bersama Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan bahawa Tamim Dahri masih berada di luar negara.

“Bagi tujuan mengesan dan membawa pulang suspek, PDRM telah memohon pembatalan pasport suspek dan seterusnya mengemukakan permohonan Notis Merah kepada Interpol pada 8 Jun,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai status tindakan polis untuk mengesan Tamim Dahri.

Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah, pada Mac lalu menangguhkan prosiding terhadap Tamim Dahri selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa beliau telah dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.

Semasa prosiding pada 17 Mac, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam dan memasuki Thailand pada 9 Mac sebelum dikesan berada di Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan sama ada beliau memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau visa umrah.

Pada 17 Mei, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Tamim Dahri selepas beliau gagal hadir ke prosiding mahkamah.

Tamim Dahri berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek suci milik penganut agama Hindu di tapak bekas sebuah kuil di Langkawi.

Pihak berkuasa kini meneruskan usaha untuk membawa pulang Tamim Dahri bagi membantu siasatan yang masih berjalan membabitkan kes berkenaan. - Getaran, 15 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved