Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengeluarkan notis merah terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang dipercayai masih berada di luar negara.
Permohonan yang dilakukan pada pada 8 Jun lalu itu adalah untuk mengesan serta membawanya pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan kes provokasi agama.
Menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, pihak berkuasa masih berusaha mengesan Tamim dan dia dipercayai masih berada di luar negara berdasarkan semakan dengan imigresen.
Jelasnya, permohonan itu dilakukan selepas PDRM memohon pembatalan pasport aktivis itu sebagai sebahagian daripada usaha mengesan keberadaannya.
“Polis telah memperolehi waran tangkap daripada Majistret Langkawi pada 17 Mei 2026 dan telah bertindak menyenarai hitamkan suspek.
“Bagi tujuan mengesan dan membawa balik suspek, polis telah memohon pembatalan pasport suspek dan kemudiannya telah mengemukakan permohonan Notis Merah kepada pihak Interpol pada 08 Jun 2026,” kata Saifuddin.
Kenyataan itu dikeluarkan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai status tindakan PDRM mengesan Tamim Dahri.
Pada Mac lalu, Mahkamah Majistret Langkawi dilaporkan telah menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap Tamim Dahri selepas dimaklumkan bahawa dia dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.
Ianya selepas pihak pendakwaan memohon tempoh dua bulan bagi membolehkan Tamim dibawa ke mahkamah, selepas Tamim dikesan berada di Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.
Pihak pendakwaan bagaimanapun memaklumkan belum dapat mengesahkan sama ada dia memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau visa umrah.







