
PETALING JAYA: Agensi penguatkuasaan yang memegang kepercayaan rakyat khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berani menolak arahan yang bercanggah dengan undang-undang.
Prinsip utama yang sepatutnya dipegang oleh pegawai dan anggota adalah menjalankan tugas berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta peraturan sedia ada tanpa rasa takut terhadap mana-mana pihak.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memberi contoh beberapa operasi yang dilaksanakannya termasuk tindakan terhadap kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam yang melibatkan penahanan dua ahli dewan undangan negeri (ADUN) pada Oktober 2019.
“Kalau arahan itu bertentangan dengan undang-undang, bagi secara bertulis. Kita akan jawab kemudian. Selagi kita berpegang kepada prinsip, Perlembagaan serta mengikut undang-undang dan peraturan, jangan takut,” katanya dalam audio siar MMTV PodX, kelmarin.
Ayob Khan berkata, tugas polis adalah menjalankan tangkapan dan siasatan serta melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Tegasnya, keputusan selanjutnya termasuk sama ada pertuduhan diteruskan atau ditarik balik, bukan lagi dalam bidang kuasa polis.
“Itu kerja kita. Kita tangkap, kita siasat, siapkan kertas siasatan dan bawa kepada pihak pendakwaan. Keputusan seterusnya bukan kerja polis,” katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan campur tangan individu tertentu atau sindiket yang mungkin mempengaruhi tindakan penguatkuasaan,
Ayob Khan berkata, maklumat berhubung perkara itu perlu disalurkan kepada pihak berkaitan.
Beliau berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) atau Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Tegasnya, dakwaan bahawa polis tidak mengambil tindakan terhadap salah laku adalah tidak tepat kerana terdapat kes tertentu yang menyaksikan tindakan diambil oleh Ketua Polis Daerah atau pegawai atasan.
“Mungkin ada teguran, amaran atau tindakan tatatertib. Bukan bermakna langsung tidak ada tindakan diambil,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan penyertaannya dalam politik, Ayob Khan sedia mempertimbangkan perkara itu sekiranya diberikan ruang untuk membawa perubahan.
Katanya, beliau tidak berminat untuk menceburi arena itu jika sekadar mengejar jawatan sebagai ahli Parlimen atau ADUN.
“Kalau saya masuk politik saya hendak buat perubahan. Jika saya masuk politik saya terpaksa ikut arus yang ada, buat apa saya masuk politik, lebih baik tebar roti canai.
“Saya ada prinsip. Kalau saya masuk, diberi ruang untuk buat perubahan, saya naklah,” katanya.
Beliau turut mengesahkan menerima pelbagai tawaran tetapi belum membuat keputusan dan sedang melihat peluang yang datang di hadapannya.
“Tawaran banyak, saya boleh sahkan tetapi saya tidak bercita-cita jadi ahli politik,” jelasnya.
Menurut Ayob Khan, perubahan tidak seharusnya hanya menjadi retorik, sebaliknya memerlukan kehendak politik yang kuat serta kesungguhan untuk melaksanakan.
“Sebab itu, saya selalu cakap perubahan daripada atas. Kita kena buat daripada sekarang walaupun sedikit atau selangkah, kita jangan kata tidak akan ada perubahan,” ujarnya.
Katanya, sesuatu yang dianggap sukar atau mustahil tetap boleh direalisasikan sekiranya terdapat individu yang benar-benar komited terhadap perjuangan serta mendapat sokongan.
“Sebab itu saya kata, kena ada orang yang betul-betul komited dan pegang betul-betul apa yang dia perjuangkan dan kena ada orang yang sokong dia. Kalau tidak macam mana hendak bergerak seorang?,” katanya.
Ayob Khan bersara wajib pada 27 Julai lalu selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam PDRM. – UTUSAN
The post PDRM perlu berani tolak arahan bercanggah undang-undang appeared first on Utusan Malaysia.






