PDRM rampas rokok seludup bernilai lebih RM800,000 di Shah Alam 

30 Sep 2026 • 8:08 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: PDRM rampas rokok seludup bernilai lebih RM800,000 di Shah Alam 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai dan merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM820,200 dalam serbuan Ops Taring Alpha 1 di Shah Alam, Selangor, hari ini.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Datuk Mohd Zaki Ashar berkata operasi pada kira-kira 8 pagi di sebuah premis di Kampung Subang Baru itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.

“Dalam serbuan itu, pasukan operasi merampas 1,350 karton rokok jenama Canyon Premium dan Menthol dianggarkan bernilai RM739,200.

“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard, berserta kunci kenderaan dan sebuah telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan oleh WCB/PSK, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman itu adalah hasil risikan serta pemantauan berterusan terhadap sindiket yang menyasarkan pasaran tempatan.

Mohd Zaki berkata hasil soal siasat awal mendapati suspek yang berperanan sebagai penghantar rokok disyaki terlibat dalam aktiviti terbabit sejak kira-kira dua tahun lepas.

Beliau berkata suspek yang mendakwa menerima bayaran RM5,000 sebulan turut mengaku mendapat arahan daripada seorang lelaki warga Bangladesh bagi mengedarkan rokok berkenaan.

“Tangkapan dan barangan rampasan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept tahun ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 268 serbuan di seluruh negara dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM330.69 juta.

Menurut Mohd Zaki, 455 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak bercukai, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-sisa (e-waste).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved