
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima barangan berharga berupa kos pengubahsuaian tiga rumah bernilai keseluruhan RM302,499.27, sembilan tahun lalu.
Adi Azuan, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima kos pengubahsuaian bagi tiga hartanah masing-masing di Seksyen 13 di sini, Kota Damansara, Petaling Jaya dan USJ Heights, Subang Jaya, daripada seorang pengarah syarikat pembinaan pada 7 Mac 2017.
Pertuduhan menyatakan Adi Azuan, sebagai seorang penjawat awam, mengetahui individu berkenaan mempunyai hubungan dengan urusan perniagaan yang dijalankannya.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin memohon jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin.
“Disebabkan tertuduh mengaku tidak bersalah, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM70,000. Seperti yang mahkamah maklum, ini adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dan Tania Scivetti memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM30,000, antara lain dengan alasan Adi Azuan sudah tidak lagi berkhidmat sebagai COO TH sejak tahun lalu serta mempunyai empat anak berusia antara 12 hingga 25 tahun yang masih bersekolah atau menuntut di universiti.
Tania turut memohon sekiranya syarat pelaporan dikenakan, anak guamnya dibenarkan melapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap tiga bulan, dengan mengambil kira keadaan kesihatannya.
Pihak pembelaan turut mengemukakan laporan perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menyatakan tertuduh dinasihatkan mengelakkan aktiviti yang boleh menyebabkan tekanan fizikal atau emosi kerana ia boleh mencetuskan kecederaan pada otot jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan Adi Azuan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya mengikut kekerapan yang dicadangkan pihak pembelaan, menyerahkan pasport antarabangsa dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 25 November depan untuk sebutan dan pengurusan kes.
Sebelum ini, Adi Azuan sepatutnya didakwa pada 3 September lalu, namun gagal hadir selepas isterinya, Zureen Zainuddin, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau dimasukkan ke PPUM sejak 31 Ogos selepas mengadu sakit dada.
Peguamnya kemudian mengemukakan dokumen perubatan daripada pakar kardiologi hospital berkenaan bagi mengesahkan keadaan kesihatan dan ketidakhadirannya.
Adi Azuan merupakan antara lima pegawai kanan TH yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan berkaitan tindakan tatatertib terhadap mereka atas beberapa isu salah laku serius, yang kemudiannya dikurangkan selepas rayuan.
Menurut laporan RCI, perkara tatatertib itu melibatkan empat isu utama termasuk pelupusan saham dalam PT TH Indo Plantations, sumbangan RM22.12 juta kepada Yayasan Tabung Haji tanpa kelulusan menteri, pengisytiharan agihan keuntungan hibah 2017 dan tuntutan palsu. - Getaran, 24 September 2026






