Bekas COO Tabung Haji Didakwa Terima ‘Hadiah’ Kos Ubah Suai 3 Rumah Bernilai Lebih RM302,000

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 5:28 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

ft tabung haji

Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menerima barang berharga berbentuk kos pengubahsuaian tiga buah rumah yang keseluruhannya bernilai lebih RM302,000.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud sebelum Adi Azuan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Adi Azuan yang ketika itu merupakan COO TH didakwa menerima kos pengubahsuaian tiga rumah sebagai suatu balasan daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail.

Tiga rumah yang terlibat ialah:

  • Jalan Polo Air 13/58B, Seksyen 13 – RM235,866.58
  • Jalan Sepah Puteri 5/20B, Kota Damansara – RM50,698.74
  • Jalan USJ Height 2/2A, Subang Jaya – RM15,933.95

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 7 Mac 2017, dengan tertuduh didakwa mengetahui bahawa Thamsulazri mempunyai kaitan dengan urusan yang dijalankannya. Jika sabit kesalahan, Adi Azuan berdepan hukuman di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Screenshot 2026 09 24 170330

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin, menawarkan jaminan sebanyak RM70,000 berserta syarat tambahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah. Bagaimanapun, peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memohon supaya jumlah itu dikurangkan kepada RM30,000.

Peguam berkata, anak guamnya masih menanggung isteri serta empat anak berusia antara 12 hingga 25 tahun yang masih bersekolah dan menuntut di universiti. Menurutnya lagi, Adi Azuan turut hadir ke Pejabat SPRM pada 2 Ogos lalu bagi memberikan keterangan walaupun ketika itu masih mendapatkan rawatan di PPUM susulan masalah jantung.

Pihak pembelaan turut memohon supaya pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah atas alasan dia memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan sebelum ini tidak mempunyai sekatan perjalanan.

Hakim Awang Kerisnada kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warga Malaysia yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur. Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.

Antaranya, Adi Azuan perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya setiap tiga bulan bermula Oktober ini, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai dan kes akan disebut semula pada 25 November ini.

Untuk rekod, Adi Azuan merupakan antara lima pegawai kanan TH yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH. Laporan itu sebelum ini mendedahkan tindakan tatatertib terhadap mereka berkaitan beberapa kes salah laku serius, yang kemudiannya diringankan selepas rayuan.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved