
KUALA LUMPUR - Pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila muncul juara Kumamoto Masters selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga–Kie Nakanishi, dalam aksi final yang mendebarkan hari ini.
Beraksi di Kumamoto Prefectural Gymnasium di Jepun awal pagi tadi (waktu tempatan), pasangan nombor dua dunia itu mencatat kemenangan 22-20, 21-19 dalam masa 54 minit.
Pada set pertama, Pearly-Thinaah bermula perlahan sebelum mengulangi kebangkitan dramatik seperti dalam separuh akhir semalam.
Terdahulu, mereka ketinggalan 17-20, bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan 20-20 sebelum meraih dua mata penting untuk mengesahkan kemenangan bagi set pertama.
Memasuki set kedua, pasangan Jepun tampil lebih yakin dengan sokongan padu penyokong tuan rumah. Namun, ketenangan serta pengalaman Pearly–Thinaah membolehkan mereka kembali mengawal permainan dan menidakkan usaha kebangkitan pihak lawan.
Final kali ini merupakan pertemuan kedua mereka selepas pertemuan di Arctic Open, yang menyaksikan Pearly–Thinaah menang mudah 21-7, 21-9.
Kemenangan hari ini turut mengukuhkan rekod pertemuan mereka kepada tujuh kemenangan daripada sembilan perlawanan.
Kejayaan di Kumamoto melengkapkan lagi musim cemerlang Pearly–Thinaah, yang sebelum ini telah merangkul kejuaraan Thailand Open dan Arctic Open, selain muncul naib juara di Indonesia Masters, Indonesia Open dan Japan Open. - Getaran, 16 November 2025
