
SHAH ALAM, 19 OKT: Selepas mengharungi episod kecederaan dan pelbagai cabaran sepanjang musim, Pearly Tan tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila kembali berdiri di podium tertinggi bersama pasangannya, M Thinaah.
Kejayaan menjuarai Terbuka Denmark 2026 semalam cukup bermakna buat beregu wanita utama negara itu yang terpaksa melalui tempoh sukar, khususnya selepas kecederaan belakang Pearly menjejaskan persiapan dan momentum permainan mereka, lapor Berita Harian.
“Saya sangat gembira dapat melalui semua ini bersama Thinaah dan berdiri di podium tertinggi hari ini.
“Ia sangat bermakna buat kami. Seperti yang saya katakan, saya tidak mahu berhenti setakat ini. Kami mahu terus maju dan memperbaiki diri,” katanya.
Pearly bagaimanapun enggan mendabik dada dengan kejayaan tersebut, sebaliknya mengakui masih sukar untuk menentukan sama ada mereka sudah kembali mencapai tahap terbaik seperti musim lalu.
Namun, beliau percaya segala pengalaman pahit dan manis yang dilalui sepanjang tahun ini membantu mereka memperkemas permainan serta meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Thinaah berkata mereka memilih untuk menikmati setiap perlawanan tanpa terlalu memikirkan tekanan sebagai pasangan pilihan kejohanan.
“Dalam beregu wanita sekarang, semua pasangan sangat bagus. Mereka semakin kuat, pantas dan agresif.
“Jadi, kami tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Kami hanya mahu menikmati permainan, suasana dan keadaan di sini,” katanya.
Terdahulu, Pearly-Thinaah yang turun sebagai pilihan kedua menewaskan pasangan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita 21-18, 21-11 dalam tempoh 36 minit pada aksi final.
Kemenangan itu sekali gus menjadikan mereka pasangan Malaysia kedua menjuarai acara beregu wanita Terbuka Denmark selepas penantian selama 18 tahun.






