
KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali menjulang gelaran Terbuka Denmark selepas menewaskan pasangan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita pada aksi final di SJF Bank Arena, Odense, sebentar tadi.
Pasangan pilihan kedua kejohanan itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan gandingan ranking ke-21 dunia berkenaan 21-18, 21-11 dalam tempoh 36 minit, sekali gus mengesahkan kejuaraan kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 750 itu.
Kejayaan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah mengulangi pencapaian Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang muncul juara pada edisi 2008, sekali gus menamatkan kemarau panjang beregu wanita negara untuk kembali menguasai kejohanan berkenaan.
Bagaimanapun, pasangan negara terpaksa bekerja keras pada set pertama apabila ketinggalan 3-8 sebelum bangkit meraih tujuh mata berturut-turut untuk mendahului 10-8, sekali gus mengubah momentum permainan.
Meskipun Suzuki-Yamakita memberikan tentangan sengit, Pearly-Thinaah kekal tenang untuk menguasai permainan dan membawa pulang set pertama 21-18 sebelum mempamerkan aksi lebih dominan pada set kedua untuk menoktahkan kemenangan 21-11.
Sebelum mara ke final, Pearly-Thinaah terlebih dahulu mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menyingkirkan pasangan India, Gayatri Gopichand Pullela-Treesa Jolly 14-21, 21-17, 21-11 pada suku akhir.
Pasangan negara kemudian meneruskan momentum apabila menewaskan gandingan China, Bao Lijing-Cao Zihan 21-16, 21-14 pada separuh akhir, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final.
Kejayaan di Odense itu turut menjadi gelaran kedua Pearly-Thinaah musim ini selepas menjuarai Masters Indonesia pada Januari lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara sandaran utama negara dalam acara beregu wanita. KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Denmark: Pearly-Thinaah tamat kemarau 18 tahun appeared first on Kosmo Online.





