SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa parti itu memecatnya jika penjelasan dibuat berhubung empat pertuduhan terhadapnya dianggap melanggar perlembagaan parti.
Ahli Parlimen Pandan itu tampil menjawab keempat-empat pertuduhan selepas menerima surat tunjuk sebab kedua daripada Lembaga Disiplin PKR bertarikh 9 April antaranya berkaitan teguran terhadap kepimpinan PKR supaya tidak membudayakan amalan bodek.
Rafizi menerusi kenyataan balas berkata, ia bukan perkara baharu, malah beliau sering menyebutnya secara berhadapan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri ucapannya di kongres parti.
"Rakaman-rakaman teguran saya mengenai budaya bodek yang menyubur di dalam parti ini berlegar meluas di media sosial.
“Jika teguran saya disambut oleh Presiden dengan senyuman dan secara terbuka sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.
“Sewajarnya ingatan saya itu, yang berpuluh tahun mengambil risiko untuk mempertahankan beliau dan keluarga sehinggalah menjadi Perdana Menteri juga disambut dengan tawaduk selepas beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Bagi pertuduhan kedua berhubung perhimpunan oleh sekumpulan aktivis muda yang dinamakan Sekretariat Tangkap Azam Baki, Rafizi menafikan dirinya menganjurkan himpunan tersebut sepertimana didakwa dalam surat tunjuk sebab itu.
Jelas Rafizi, perhimpunan tersebut tidak berbeza dengan himpunan Bersih yang dianjurkan kumpulan bukan partisan dan menjemput tokoh pelbagai bidang termasuk ahli politik untuk berucap.
"Sebelum menjadi Kerajaan Persekutuan, ramai pimpinan parti termasuk Presiden sendiri yang berucap di dalam himpunan seperti ini dan bercakap mengenai isu tatakelola negara.
"Tindakan Presiden sebagai Perdana Menteri yang menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki (selepas bersara) selama tiga kali mengundang kritikan rakyat.
"Presiden juga dilaporkan secara meluas mempertahankan Azam apabila media mengajukan soalan terhadap beliau semasa skandal pemilikan saham dibocorkan. Oleh itu, kritikan bahawa Presiden mempertahankan Azam yang terpalit skandal bukanlah implikasi daripada ucapan saya tempoh hari di perhimpunan tersebut. Ia berpunca daripada tindakan Presiden sendiri," ujarnya.
Ketiga, Rafizi turut menjawab pertuduhan bahawa Presiden parti membenarkan penyokong-penyokong beliau menyebarkan fitnah.
Bekas Menteri Ekonomi itu mendakwa, serangan berunsur peribadi dan caci maki terhadapnya seperti gelaran ‘sotong’, ‘pondan’ atau fitnah seumpamanya dihamburkan setiap hari oleh beberapa pimpinan parti sendiri, termasuk ketua-ketua cabang.
“Contoh paling jelas adalah cacian yang dibuat oleh Ketua Cabang Paya Besar. Ucapan Presiden di konvensyen-konvensyen negeri walaupun tidak menyebut nama saya, jelas merujuk kepada saya dan ia selari serangan dibuat pemegang-pemegang jawatan dalam parti seperti Ketua Cabang Paya Besar itu.
“Malah, tidak keterlaluan jika ada orang ramai yang menyimpulkan bahawa serangan pimpinan parti di bawah ini mengikuti isyarat daripada ucapan-ucapan Presiden sendiri.
"Sehingga sekarang, Presiden atau kepimpinan parti tidak memberikan arahan atau nasihat supaya serangan itu janganlah sehingga tahap memaki hamun sepertimana dibuat oleh Ketua Cabang Paya Besar itu,” jelasnya.
Bagi pertuduhan keempat, Rafizi menjawab berkenaan laporan-laporan beliau tentang perilaku Presiden PKR terkait beberapa individu tertentu, terutamanya Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan.
Rafizi menyentuh dakwaan bahawa Presiden PKR selaku Perdana Menteri mengarahkan SPRM untuk tidak menyiasat Farhash dilaporkan oleh Bloomberg.
Menurutnya, sehingga kini Presiden tidak mengambil tindakan saman terhadap media antarabangsa, Bloomberg mengenai laporan itu.
"Saya telah menamakan secara terbuka bahawa Ramanan adalah Ahli Parlimen daripada parti ini yang menerima rasuah sebanyak RM9.5 juta seperti didakwa oleh Victor Chin dalam skandal mafia korporat.
"Sehingga kini, Ramanan tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap saya. Presiden parti selaku Perdana Menteri juga tidak mengarahkan sebarang siasatan atas dakwaan rasuah itu, malah tidak mengarahkan Ramanan bercuti daripada jawatan sehingga siasatan selesai," katanya.
Rafizi turut memberitahu, media CNA pula melaporkan bahawa Presiden PKR telah campur tangan dalam perebutan untuk mengawal NexG Berhad dan mengarahkan Farhash supaya tidak meneruskan hasratnya mengambil alih NexG melalui proksi.
"Sehingga kini, Presiden parti tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap CNA. Seorang yang waras, berprinsip dan ada naluri ingin mencari kebenaran, boleh membuat kesimpulan bahawa Farhash dan Ramanan mempunyai pertalian sangat rapat dengan Presiden serta terlindung daripada tindakan yang akan dikenakan kepada orang lain, sekiranya orang lain itu terpalit tuduhan yang saya sebutkan di atas.
"Saya berharap Lembaga Disiplin PKR membuat keputusan yang tegas, cepat dan tidak lagi melengah-lengahkan perkara ini kerana rakyat sudah mual.
"Jika penjelasan saya dikira melanggar Perlembagaan parti, jadilah seperti parti yang normal (dan tidak songsang) dengan mengambil tindakan memecat sepertimana dibuat kepada anggota parti lain yang dikenakan pertuduhan disiplin sebelum ini," kata Rafizi.
