Pecco Akui Kesilapan, Akan Ubah Cara Kerja

11 Jul 2025 • 10:21 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Francesco Bagnaia akhirnya mengakui kesilapan pendekatannya dalam menangani isu jentera GP25 sepanjang musim 2025 setakat ini. Dalam kenyataan terbaru kepada media Sepanyol, DAZN, pelumba utama Ducati Lenovo itu memohon maaf kepada pasukan juruteranya kerana terlalu bertindak bersendirian dalam mencari penyelesaian.

Pecco mengakui bahawa dia sebelum ini terlalu fokus menyelesaikan masalah secara individu dan kurang melibatkan jurutera dalam perbincangan teknikal. Kini, beliau berazam untuk menukar pendekatan dengan lebih kerap melakukan lap tambahan, serta lebih terbuka dan aktif dalam perbincangan bersama pasukan.

“Saya mahu bergerak seiring dengan pasukan. Setakat ini, tak banyak yang berhasil. Kami perlu ubah cara kerja dan lebih bersedia untuk perlumbaan,” kata Pecco.

Kesungguhan Bagnaia untuk memperbaiki prestasi turut terserlah apabila beliau sanggup mengorbankan kelajuan semata-mata untuk mendapatkan lebih banyak data setiap sesi. Tindakan ini menunjukkan kematangan dan keinginannya untuk bangkit semula dalam musim yang semakin mencabar ini.