Pecutan Pertama Perodua QV-E : Mencelah Di Antara Semua EV Dengan Pembawaan Berlainan

LocalCars
1 Dec 2025 • 11:04 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada hari ini Perodua akhirnya telah melancarkan kereta elektrik pertama mereka iaitu QV-E. Setelah bertahun menyorok di belakang kod nama EMO-II, akhirnya kereta elektrik pertama mereka ditawarkan untuk semua. Kami berkesempatan menyertai sesi pandu uji singkat di Litar Sepang dan melihat aspirasi Perodua dengan lebih dekat dalam mendekati masa hadapan kenderaan elektrik tempatan.

image is not available

Rekabentuk Luaran Yang Bergaya

Disebutkan sebagai Kiu Vee, Perodua QV-E ini boleh dikatakan sebuah sportback elektrik dari segi bentuknya yang sedikit bersegi dan garang. Boleh dikatakan hampir mengikut betuk Toyota CH-R atau tidak keterlaluan mengikut bentuk Peugeot 408 jika dilihat dari komentar-komentar pengguna lain yang melihat gambar prototaip.

Lampu hadapan pula seolah-olah sama dengan Tesla dengan barisan lampu siang LED yang memenuhi segenap penjuru hadapan dan juga akan menjadi lampu isyarat kiri dan kanan sequential lights, serta lampu projektor untuk menyuluh jalan. Namun begitu tidak terdapat sebarang ruangan storan frunk di hadapan, memandangkan Perodua QV-E merupakan pacuan hadapan. 

image is not available
image is not available

Palam pengecasan pula terletak di sebelah kiri kenderaan berhampiran tayar kiri, dan bahagian tepi kereta elektrik ini juga terdapat garis-garis dan bahan yang memberikan ciri aerodinamik dan juga kelasakan kereta ini. Pemegang pintunya juga terbenam ke dalam, dan akan muncul apabila dinyahkunci.

Namun sedikit berlainan dengan pemegang pintu di belakang dimana ia mempunyai posisi yang tinggi bagaikan Toyota CH-R ataupun Honda HR-V. Tayar yang digunakan pula adalah tayar Atlas 215 / 50 R 18 dan ia merupakan tayar biasa, bukannya tayar yang dibangunkan khas untuk kereta elektrik.

image is not available
image is not available
image is not available

Di bahagian belakang pula terdapat lampu yang turut meliputi dari hujung kiri ke hujung kanan. Ia juga menggunakan lampu isyarat sequential yang membuatkannya lebih cantik apabila dipandang sewaktu membelok. Logo Perodua yang terpampang pula merupakan tuil untuk membuka bonet belakang.

Memandangkan rekaannya yang tirus di belakang, boleh dikatakan ruang yang biasanya ada untuk melihat situasi di belakang pemandu adalah sangat sempit. Justeru Perodua turut menyertakan paparan LCD di panel cermin pandang belakang. Letaknya kamera ini adalah dibahagian spoiler, dan satu lagi kamera terletak di belakang untuk tujuan parkir.

image is not available
image is not available

Ruang Dalaman Yang Sedikit Kecil

Melangkah masuk ke dalam kokpit pemanduan, kerusi pemandu dilengkapi tetapan elektronik memudahkan anda untuk mengubah kesesuaian bagi memberikan pemanduan yang selesa. Paparan kokpit dengan panel instrumen 10-inci memaparkan segala maklumat berkenaan pemanduan anda.

Di bahagian tengah terdapatnya sistem inforia dengan paparan sebesar 10.25-inci yang turut menyokong tambatan nirwayar Android Auto dan Apple CarPlay. Satu perkara yang boleh dipuji adalah pemilihan tetapan penyaman udara menggunakan butang fizikal yang lebih praktikal kerana pemandu yang ingin mengubah suhu tidak perlu melihat panel skrin inforia. 

image is not available

Seperkara lagi adalah terdapatnya butang kawalan fizikal yang melibatkan fungsi pemanduan. Pemandu dengan senang boleh mengubah mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport menerusi butang tetapan mod pemanduan, tombol yang boleh dipusing bagi memilih tahap gear, serta mengubah pembrekan janaan semula (regen) menerusi butang berhampiran dengan tombol. 

image is not available

Dari segi ruang tempat duduk, saya berasa tiada masalah untuk pemandu dan penumpang hadapan, akan tetapi ruangan tempat duduk belakang mungkin berasa sempit untuk mereka yang mempunyai ketinggian 180cm ke atas. Terdapatnya tempat letak tangan berserta tempat letak cawan untuk penumpang belakang, dan dari segi ruang kaki, ia agak luas. Untuk penumpang belakang juga terdapatnya palam pengecasan USB-A dan USB-C dan tiada sebarang haluan penyaman udara disediakan. 

image is not available

Prestasi Pemanduan

Perodua QV-E dilengkapi bateri oleh CATL sebesar 52 kWh dan pada kadar tersebut, ia memberikan jarak perjalanan sejauh 444km NEDC. Bateri ini boleh dicaj sepantas 30 minit untuk pengecasan DC 30-80% manakala pengecasan AC 11 kW pula dijangka akan mengambil masa selama 8 jam. Apa yang menariknya adalah kereta ini boleh mencapai kelajuan maksimum 165 km/j dan lebih dari Proton e.MAS 5. 

image is not available

Menerusi sesi pandu uji di litar Sepang, kereta yang dipandu adalah 90% siap dengan perisian yang masih di peringkat percubaan. Antara laluan yang dilalui termasuklah slalom, dan juga brek kecemasan. Apa yang saya suka dengan Perodua QV-E adalah bagaimana tetapan regen dapat diakses pantas, berhampiran dengan tombol mod pemanduan.

Saya juga diberikan peluang untuk menukar tahap pemanduan namun boleh dikatakan terdapat sedikit sela masa sebelum regen dimulakan mungkin kerana kereta ini belum menggunakan perisian akhir atau itu mungkin satu ciri supaya penumpang tidak merasa kesan regen yang mengejut yang biasanya dikaitkan dengan ketidakselesaan yang dialami dalam kereta elektrik. Dan dari segi tahap regen yang digunakan juga, ia boleh dikatakan lembut, dan tidak terlalu kuat.

Kesimpulan

Dari pengalaman singkat ini boleh dikatakan mungkin Perodua mengambil langkah selamat dalam memastikan peralihan pengguna dari kenderaan petrol bertukar ke kenderaan elektrik adalah satu peralihan yang tidak mengejut. Bukan sahaja dari pengalaman pemanduan, bahkan aplikasi dan perkhidmatan yang meliputi ekosistem kereta elektrik dilihat bakal membawakan keunikan dalam penawaran Perodua QV-E.

Mungkin apa yang berbaki adalah stigma awam terhadap kereta elektrik yang biasanya jatuh nilai pada kadar pantas, dan Perodua cuba menyelesaikannya dengan sewaan bateri berasingan, pada kadar RM 275 sebulan, tidak termasuk SST.

image is not available

Dengan hadirnya Perodua QV-E ini pastinya memberikan jawapan buat para peminat Perodua, dan ditambah dengan kerjasama Perodua dan Maybank dalam memberikan pinjaman yang turut disertakan dengan nilai jaminan kereta elektrik ini dalam masa beberapa tahun akan datang. Ia tidak boleh dibandingkan secara terus dengan Proton e.MAS 5 dan e.MAS 7, kerana masing-masing mempunyai perbezaan dari segi kelas, dan juga ruang. 

Namun begitu apabila melihat sendiri aspirasi Perodua yang ingin membawakan kereta elektrik dengan bahan 100% buatan tempatan, jelas sekali Perodua QV-E terdapat potensinya yang tersendiri, dan kini sambutan dan penerimaan pengguna tempatan akan memainkan peranan industri kereta elektrik untuk tahun mendatang. 

image is not available