
MISANO, 15 September 2025 – Hanya sehari selepas aksi dramatik GP San Marino , perhatian beralih ke sesi ujian rasmi pasca-pusingan di Misano World Circuit Marco Simoncelli. Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) bangkit daripada kekecewaan Ahad untuk muncul pelumba terpantas Isnin, manakala Yamaha mencuri tumpuan dengan kemunculan penuh skuad menggunakan prototaip enjin V4 baharu.
KTM: Acosta Kembali Gah
KTM menebus nasib malang di perlumbaan utama apabila Acosta tampil bertenaga sejak awal ujian, menutup sesi dengan kelebihan 0.340s ke atas pesaing terdekat. Walaupun masih kurang puas hati di selekoh laju, catatan masa beliau hampir menembusi sempadan 1’30s. Brad Binder menamatkan hari di kedudukan ke-14, sementara Enea Bastianini (P12) dan Maverick Viñales (P13) fokus pada pembangunan tetapan dan pemulihan kecergasan. Dani Pedrosa turut menguji swingarm dan ekzos baharu, menutup hari di P21.
Ducati: Alex Marquez Kedua, Pecco Terlibat Insiden
Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) menjadi pelumba Ducati terbaik dengan kedudukan kedua, manakala rakan sepasukan Fermin Aldeguer menamatkan di P10. Franco Morbidelli (P5) dan Fabio Di Giannantonio (P7) pula menunjukkan prestasi positif buat VR46. Francesco Bagnaia menguji aero 2024 dan casis 2025 sebelum terjatuh di Turn 1, menutup hari di P8. Marc Marquez pula memberi fokus pada swingarm untuk memperbaiki corner exit, menamatkan ujian di P6.
Aprilia: Bezzecchi Terus Konsisten
Selepas podium Ahad, Marco Bezzecchi kembali menyerlah dengan menutup ujian di tempat ketiga. Aprilia turut memberi fokus pada chassis, elektronik dan ergonomik, dengan Jorge Martin (P9) gembira pada asas 75% pakej RS-GP baharu walaupun sempat terjatuh di Turn 8. Raul Fernandez pula cemerlang di P4.
Honda: Langkah Positif
Honda teruskan eksperimen dengan casis baharu dan aero belakang. Luca Marini menamatkan hari di P11, Johann Zarco di P15, manakala Somkiat Chantra di P22. Joan Mir tidak beraksi kerana kecederaan.
Yamaha: Prototaip V4 Jadi Sorotan
Semua mata tertumpu pada Yamaha apabila Fabio Quartararo, Álex Rins, Jack Miller dan Miguel Oliveira turun dengan jentera V4. Walaupun masih awal, maklum balas pelumba jelas menunjukkan potensi besar. Oliveira menamatkan ujian sebagai Yamaha terbaik di P16, diikuti Rins (P17), Quartararo (P18) dan Miller (P19). Catatan masa bukan ukuran utama ketika ini, sebaliknya data dan pengalaman pelumba akan menjadi asas pembangunan seterusnya.
Ujian sehari ini menutup hujung minggu penuh emosi di Misano. Fokus kini beralih ke Motegi dan Mandalika, dengan Marc Márquez berpeluang menamatkan musim lebih awal di Grand Prix Jepun pada 26–28 September.
The post Pedro Acosta Terpantas, Yamaha Uji Prototaip V4 Di Misano Test appeared first on TW Media.
