Pegangan saham asing di Bursa Malaysia susut ke paras terendah 17.7% pada Oktober - CGSI

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 10:26 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pegangan saham asing di Bursa Malaysia susut ke paras terendah 17.7% pada Oktober - CGSI Image from: Pegangan saham asing di Bursa Malaysia susut ke paras terendah 17.7% pada Oktober - CGSI sarah06/11/2026 - 10:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov - Pegangan pelabur asing dalam pasaran saham Malaysia jatuh ke paras terendah baharu sebanyak 17.7% pada Oktober 2026, ketika aliran keluar dana asing berterusan dengan jualan bersih mencecah RM7.4 bilion sepanjang 10 bulan pertama tahun ini, menurut CGS International Securities (CGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing mencatatkan jualan bersih RM900 juta pada Oktober, lebih rendah berbanding RM1.6 bilion pada September, namun pegangan mereka dalam pasaran ekuiti tempatan terus menyusut daripada 17.8% pada bulan sebelumnya.

 

Menurut laporan strategi pasaran Malaysia bagi Oktober 2026, jumlah jualan bersih asing sejak awal 2024 kini mencecah RM34 bilion, mencerminkan tekanan pengeluaran dana asing yang berpanjangan daripada pasaran saham tempatan.

 

Bagaimanapun, FBM KLCI menunjukkan daya tahan apabila hanya merosot 2.2% kepada sekitar 1,616 mata pada Oktober, sekali gus mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan empat pasaran utama Asia Tenggara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST).

 

Pelabur runcit tempatan terus membeli saham

CGSI berkata, pelabur runcit tempatan kekal sebagai satu-satunya kumpulan pembeli bersih pada Oktober dengan pembelian bersih RM1 bilion, walaupun lebih rendah berbanding RM1.4 bilion pada September.

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan kembali mencatatkan jualan bersih RM139 juta berbanding pembelian bersih RM206 juta pada bulan sebelumnya, manakala nilai pembelian saham oleh pelabur asing merosot 10.8% kepada RM19.7 bilion.

 

Aktiviti dagangan Bursa Malaysia turut perlahan apabila purata nilai dagangan harian menyusut 12.1% kepada RM2.8 bilion, sementara purata jumlah dagangan harian berkurangan 12.3% kepada 3.3 bilion saham.

 

Menurut CGSI, penyusutan aktiviti dagangan itu sebahagiannya disebabkan asas perbandingan yang tinggi pada September serta kekurangan pemangkin baharu selepas pembentangan Belanjawan 2027.

 

Sektor penjagaan kesihatan mendahului kenaikan

Prestasi keseluruhan pasaran kekal lemah apabila hanya empat daripada 13 indeks sektor Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan sepanjang Oktober, manakala sembilan daripada 30 saham komponen FBM KLCI ditutup lebih tinggi.

 

Sektor penjagaan kesihatan mendahului kenaikan sebanyak 6.3%, diikuti pengangkutan sebanyak 2.3% dan teknologi sebanyak 1.4%, manakala sektor perladangan mencatatkan penurunan terbesar sebanyak 5.4%, diikuti pembinaan sebanyak 4.8% dan hartanah sebanyak 4.1%.

 

Dalam kalangan saham komponen FBM KLCI, Petronas Chemicals Group Berhad mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 12.4%, diikuti MISC Berhad sebanyak 8% dan Nestlé (Malaysia) Berhad sebanyak 6.6%.

 

Sebaliknya, CIMB Group Holdings Berhad mengalami penurunan terbesar sebanyak 11.3%, diikuti YTL Power International Berhad sebanyak 10% dan Hong Leong Bank Berhad sebanyak 8.6%.

 

Bursa Malaysia lebih berdaya tahan berbanding pasaran serantau

CGSI berkata, penurunan FBM KLCI pada Oktober adalah lebih kecil berbanding indeks MSCI Asia tidak termasuk Jepun yang merosot 8.3% serta indeks MSCI Pasaran Sedang Pesat Membangun yang jatuh 8.1%, ketika pasaran ekuiti global berdepan tekanan jualan.

 

Dalam kelompok MIST, indeks SET Thailand menyusut 2.6%, STI Singapura merosot 5.3%, manakala JCI Indonesia menjunam 16.7% susulan kebimbangan mengenai kemungkinan pengeluaran dana asing selepas perkembangan berkaitan penilaian status pasaran oleh MSCI.

 

Sementara itu, indeks KOSPI Korea Selatan merosot 16.2% berikutan tekanan jualan saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, menunjukkan bahawa kelemahan pasaran saham pada Oktober turut dipengaruhi sentimen terhadap sektor teknologi global. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved