sarah06/11/2026 - 16:36 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - Bursa Malaysia Securities Berhad mengeluarkan peringatan dagangan terhadap Mega Fortris Berhad susulan kejatuhan mendadak harga saham syarikat itu yang menyebabkan kira-kira RM1.78 bilion nilai pasarannya terhakis dalam tempoh tujuh hari dagangan.
Saham pengeluar meterai keselamatan itu menjunam 61.2% daripada harga penutup RM3.45 pada 28 Oktober 2026 kepada RM1.34 setakat tengah hari Jumaat, sekali gus menyusutkan nilai pasaran syarikat kepada kira-kira RM1.13 bilion berbanding RM2.92 bilion sebelum kejatuhan tersebut.
Pada tengah hari, saham Mega Fortris susut 49 sen atau 26.8% berbanding harga penutup RM1.83 pada Khamis, sekali gus meletakkannya antara saham paling rugi di Bursa Malaysia, manakala aktiviti jualan singkat intrahari (IDSS) saham berkenaan turut digantung selepas melepasi had penurunan harga yang ditetapkan.
Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata, aktiviti dagangan dan pergerakan harga saham Mega Fortris masih menunjukkan keadaan luar biasa walaupun syarikat itu telah memberikan penjelasan terhadap pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) pada 30 Oktober lalu.
Perintah mahkamah babitkan 17.74 juta saham
Mega Fortris sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat yang belum diumumkan, khabar angin atau laporan yang boleh menjelaskan pergerakan luar biasa sahamnya, kecuali satu perintah mahkamah yang didedahkan dalam jawapannya kepada Bursa Malaysia.
Perintah Mahkamah Tinggi itu diperoleh oleh Pengerusi Mega Fortris, Datuk Ng Meng Kee, bersama pemegang saham utama Mega Fortris Global Pte Ltd terhadap Affin Hwang Nominees Tempatan Sdn Bhd bagi mendapatkan dokumen berkaitan lima transaksi melibatkan 17.74 juta saham syarikat antara 25 hingga 31 Mac 2026.
Dokumen berkenaan turut melibatkan hubungan Affin Hwang Nominees dengan Safari Asia Limited serta urus niaga saham yang dipegang bagi pihak syarikat tersebut, namun Mega Fortris menegaskan bahawa pihaknya belum dimaklumkan mengenai hasil pemeriksaan dokumen dan tidak dapat memastikan sama ada perkara itu mempunyai kaitan dengan kejatuhan harga sahamnya.
Sehubungan itu, Bursa Malaysia mengingatkan pelabur supaya meneliti semua maklumat yang tersedia sebelum membuat keputusan pelaburan dalam saham Mega Fortris, selain menggalakkan penggunaan kemudahan analisis dan penilaian saham menerusi portal MyBURSA. - DagangNews.com






