KOTA KINABALU - Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, terhadap enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi mendapatkan bayaran untuk beberapa program anjuran agensi itu.
Tertuduh, Bakri Bibi, 53, membuat pengakuan tidak bersalah tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elsie Primus.
Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen pembelian terus pelawaan tawaran harga atas nama sebuah syarikat sebagai tulen bagi menipu untuk mendapatkan bayaran bagi beberapa program komuniti dan kesedaran dadah yang diadakan di Kunak dan Tawau antara Ogos 2018 hingga April 2019.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Mahkamah memerintahkan jaminan dan syarat yang sama dikenakan kepada tertuduh sebelum ini selain menetapkan 27 April depan sebagai tarikh pengurusan kes.
Sebelum ini, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan serta deposit RM4,000, selain perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguamnya, Zahir Shah dari Zahir Shah & Co.

