
TUMPAT – Kakak kepada seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang dibunuh kediamannya di Kompleks Perumahan Awam dekat Nilai, Negeri Sembilan malam tadi tidak sanggup untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada dua anak arwah adiknya.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa, Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, yang bertugas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai dibunuh oleh suaminya yang berusia dalam lingkungan 30-an sebelum lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor kira-kira 30 minit kemudian.
Marliza Ibrahim, 48, berkata, dia berhajat untuk memaklumkan tragedi tersebut kepada anak saudara sulungnya berusia enam tahun dan adiknya berusia lima tahun sebelum jenazah arwah ibu mereka tiba di rumah di Kampung Banjir, Telaga Bata, Pengkalan Kubor di sini esok.
Menurutnya, kedua-dua anak saudara yang dijaga olehnya daripada kecil itu akan menghubungi ibu mereka menerusi panggilan video setiap pagi sebelum keluar ke sekolah.
“Mereka ada meminta untuk bercakap dengan arwah semalam, tetapi saya tidak layan permintaan dua beradik itu dengan memberi alasan bahawa ibu sedang sibuk bekerja.
“Kali terakhir mereka berdua bertemu mata dengan arwah pada Isnin lalu ketika Norhazwani pulang ke kampung selama seminggu bermula 5 Oktober untuk menguruskan perbicaraan kes perceraian dengan suaminya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Banjir, Telaga Bata, Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Marliza memberitahu, dia terkejut selepas mendapat berita mengenai Norhazwani yang merupakan adik bongsu daripada sembilan beradik dibunuh selepas tiga hari pulang dari kampung.
Katanya, arwah sebelum ini turut memaklumkan dia berdoa supaya perceraian dengan suaminya dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Allahyarham Norhazwani membuat tuntutan fasakh terhadap suaminya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap di Mahkamah Syariah Tumpat dan perbicaraan kes tersebut sudah dua kali berjalan.
“Arwah tidak pernah menceritakan masalah rumah tangganya. Saya hanya tahu apabila dia memaklumkan bahawa akan bercerai dengan suaminya.
“Saya akan jaga kedua-dua anak arwah kerana mereka sangat rapat dengan saya. Selepas arwah habis tempoh berpantang apabila melahirkan si adik, saya terus menjaganya. Kakaknya pula saya jaga ketika berusia dua tahun,” katanya.- kOSMO! ONLINE
The post Pegawai AKPS maut: Dua anak masih tak tahu ibu mati dibunuh bapa appeared first on Kosmo Online.






