
SEREMBAN – Abang sulung kepada Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, yang menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) kerana banyak membantu keluarganya menguruskan jenazah adiknya yang dipercayai dibunuh suami sendiri, malam Jumaat lalu.
Amran Ibrahim, 59, berkata, keprihatinan kedua-dua agensi berkenaan amat dihargai, terutama dalam memastikan segala urusan membawa pulang jenazah adiknya ke Kelantan berjalan lancar.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kastam dan AKPS kerana banyak membantu keluarga saya. Urusan membawa jenazah dan segala perkara berkaitan, mereka sangat ambil berat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban hari ini.
Menurutnya, rakan sekerja Allahyarham turut menghubunginya menerusi panggilan telefon dan WhatsApp, malah ada yang datang menemuinya ketika berada di hospital dan surau.
Malah, Amran berkata, Allahyarham yang bertugas sebagai pegawai kerajaan disifatkan rakan sekerjanya sebagai seorang yang ramah, baik dan mudah bergaul.
“Saya ada bertanya kepada mereka sama ada adik saya seorang yang sombong atau tidak bergaul dengan orang lain, tetapi mereka kata dia seorang yang ramah. Itulah yang dimaklumkan kepada saya oleh rakan-rakan sekerjanya,” katanya.
Amran berkata, jenazah dijadualkan dibawa ke sebuah masjid di Kuarters KLIA untuk dimandikan selepas selesai proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke Kelantan menggunakan kenderaan rasmi van jenazah Kastam melalui Gua Musang. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai AKPS maut ditikam: Jenazah dibawa pulang ke Kelantan malam ini appeared first on Kosmo Online.





