
TUMPAT - Dua anak kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, hanya tahu ibu mereka meninggal dunia kerana sakit, bukan kerana dibunuh suami.
Kakak mangsa, Marliza Ibrahim, 48, berkata beliau mengambil keputusan untuk tidak menceritakan kejadian sebenar kepada kedua-dua anak saudaranya, masing-masing berusia lima dan enam tahun kerana bimbang mereka belum mampu memahami perkara itu.
“Pagi tadi, saya beritahu mereka bahawa ibu mereka sudah meninggal dunia. Apabila ditanya sebabnya, saya katakan ibu mereka sakit.
“Saya tidak sampai hati untuk memberitahu perkara sebenar kerana mereka masih kecil dan belum memahami apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Marliza, beliau turut menjelaskan bahawa ibu mereka akan dikebumikan seperti arwah datuk dan nenek mereka.
Difahamkan, dua beradik malang itu dapat menerima penjelasan berkenaan.
Marliza berkata, jenazah adiknya dijadual dibawa pulang ke Tumpat melalui jalan darat malam ini selepas proses bedah siasat selesai di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Pengkalan Kubor, sebaik tiba bagi membolehkan urusan pengebumian disegerakan.
Katanya, rumah keluarga mereka di Kampung Banjir, Telaga Lanas, turut dikunjungi saudara-mara dan kenalan Allahyarhamah sejak berita kematiannya tersebar.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan jenazah Norhazwani dibawa pulang ke Kelantan selepas bedah siasat selesai pagi tadi.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek yang juga suami mangsa baru-baru ini dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman berkaitan kesalahan dadah.
Norhazwani ditemukan meninggal dunia di sebuah kuarters kerajaan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, pada Khamis.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 malam.
Hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati tekanan pada leher menjadi punca kematian mangsa.
“Dapatan awal bedah siasat menunjukkan tekanan pada leher sebagai punca kematian,” katanya.
Pemeriksaan yang dijalankan oleh Dr Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif dari jam 9.40 pagi hingga 2.30 petang itu turut menemukan tiga kesan tikaman pada tubuh mangsa, iaitu dua di bahagian abdomen dan satu di pipi kanan.
Suspek berusia lingkungan 30-an menyerah diri kepada polis tidak lama selepas kejadian dan kini direman selama tujuh hari bermula semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Getaran, 17 Oktober 2026






