Pegawai Awam Persekutuan, Ibu Negeri Lebih 8 Kilometer Ke Pejabat Layak BDR

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 10:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR — Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang perlu melalui perjalanan sehala melebihi lapan kilometer untuk ke pejabat dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR) selama tiga hari seminggu.

Kebenaran tersebut dinyatakan menerusi pekeliling ‘Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi Perkhidmatan Awam berikutan Konflik Asia Barat’ bertarikh hari ini.

Pekeliling berkenaan yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz antara lain menyatakan bahawa kebenaran tersebut berkuat kuasa 15 April ini.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan mengurangkan impak krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Menurut pekeliling berkenaan, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) SR.4.1.2: Dasar Bekerja Dari Rumah memperincikan dasar, syarat serta peraturan yang mengawal pelaksanaan BDR dalam perkhidmatan awam.

“Pelaksanaan BDR secara berperingkat merupakan langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan dalam mendepani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat,” jelas kenyataan itu. 

Walau bagaimanapun, beberapa sektor dikecualikan daripada pelaksanaan tersebut.

Ia mencakupi perkhidmatan keselamatan dan pertahanan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Imigresen Malaysia. - Getaran, 2 April 2026