Pegawai bomba tidak mengaku minta, terima rasuah

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 5:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pegawai bomba tidak mengaku minta, terima rasuah

ALOR SETAR: Seorang pegawai bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM11,500 pada 2024 dan tahun lepas.

Tertuduh, Johari Bar Azwar, 40, yang bertugas sebagai Penguasa Bomba KB9 di Pejabat Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sungai Petani membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan RM1,500 daripada pemilik Kejuruteraan Union Langkawi Sdn. Bhd., Khaw Kok Aun, 66, sebagai dorongan untuk mendapatkan Surat Sokongan Pelesenan JBPM bagi syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang sebuah restoran di Amanjaya Mall, Sungai Petani, kira-kira 12.30 tengah hari pada 4 April 2024.

Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa meminta dan menerima suapan RM10,000 daripada pemilik Jin Hua Tong Sdn. Bhd., Lim Zhan Xian, 27, sebagai dorongan untuk mendapatkan surat sama bertarikh 3 Februari 2025 bagi syarikat itu dan RSM Megamaju Sdn. Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan premis Jin Hua Tong di Kawasan Perindustrian Taman Ria Jaya, Sungai Petani, pada 3 petang, 4 Februari 2025.

Pertuduhan terhadap Johari dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Zulfadli Azharudin memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan RM30,000 bagi pertuduhan kedua serta ketiga.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Syafiq Ahmad dan Nur Azimul Azami yang mewakili tertuduh memohon jaminan pada kadar minimum dengan alasan tertuduh menanggung isteri, empat anak berusia antara dua hingga 12 tahun serta ibu bapa yang masing-masing berusia 65 dan 75 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

The post Pegawai bomba tidak mengaku minta, terima rasuah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved