SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan polis maut dipercayai terjatuh dari sebuah apartmen di Vista Alam, Seksyen 14 di sini pada Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya mengesahkan kematian pegawai lelaki dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu selepas menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
"Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima maklumat kejadian tersebut pada jam kira-kira 3.07 pagi.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat.
"Polis Selangor turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang berlaku.
"Orang ramai diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.
