NILAI – [DIKEMAS KINI] “Sebagai orang Islam, keluarga menerima kematian arwah, tapi tak sangka caranya begini.”
Demikian luahan Amran Ibrahim, 59, abang sulung kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang dipercayai dibunuh suaminya di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam KLIA di sini pada malam Khamis.
**media[3679578]**
Dia mengakui pada awalnya sukar mempercayai berita kematian adik bongsunya itu, lebih-lebih lagi apabila dimaklumkan mangsa disyaki dibunuh oleh suaminya sendiri.
“Kira-kira jam 7.30 malam ketika saya berada di rumah, salah seorang adik lelaki saya menelefon dan memaklumkan arwah dibunuh suaminya yang telah pun menyerah diri di balai polis.
“Saya pada mulanya tidak percaya dan segera hubungi balai polis yang mengesahkan adik saya telah mati ditikam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
**media[3679576]**
Menurutnya, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik seorang yang ceria dan jarang berkongsi masalahnya dengan keluarga.
Bagaimanapun katanya, keluarga mengetahui mangsa berdepan masalah rumah tangga dan sedang dalam proses perceraian.
“Kami tahu dia ada masalah dengan suami, tapi dia tak pernah bercerita secara terperinci kepada saya, sebaliknya lebih banyak berkongsi dengan adik lelaki saya yang lain.
“Suaminya pula baru beberapa hari keluar dari penjara kerana kesalahan berkaitan dadah, manakala mereka kini dalam proses perceraian,” katanya.
Menurut Amran, sehari sebelum kejadian, adik lelakinya yang tinggal di Kelantan datang bermalam di rumah Allahyarham.
Katanya, ketika itu, Allahyarham dan suaminya dilihat berada dalam keadaan biasa, malah adiknya sempat menasihati pasangan itu supaya menjaga hubungan mereka dan tidak bergaduh.
“Mereka sudah tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan dua anak berusia lima dan enam tahun yang kini dijaga oleh seorang lagi adik perempuan saya di Kelantan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Amran mengakui berasa kesal, namun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami terlalu sedih atas apa yang berlaku, sebab dia adik bongsu kami. Memang rasa geram, tetapi kami serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” katanya.
**media[3679577]**
Beliau turut memaklumkan bahawa mayat Allahyarham telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk tindakan lanjut.
Katanya, sebaik sahaja proses bedah siasat selesai, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kelantan untuk dikebumikan.
"Polis beritahu yang post mortem akan dibuat hari Sabtu pagi," katanya.
Terdahulu media melaporkan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian berlaku dan memaklumkan menerima maklumat sekitar jam 8.30 malam.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan maklumat lanjut berhubung kes akan dikeluarkan selepas siasatan di tempat kejadian selesai sepenuhnya.
Dalam pada itu, rakan sekerja Allahyarham yang enggan dikenali turut meluahkan rasa terkejut atas kejadian itu.
"Saya nak pergi kedai, tapi pelik tengok polis ramai di rumah arwah. Saya ingatkan kes kematian biasa, rupa-rupanya dia mati dibunuh.
"Kami pun tak tahu masalah arwah dengan suaminya kerana di tempat kerja dia biasa saja," katanya.



![[VIDEO] Suami serah diri di balai selepas bunuh isteri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/incollage_save-4-1024x692.jpeg)

