Pegawai Maritim Maut Ketika Operasi Banteras Pendatang Tanpa Izin

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 9:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pegawai Maritim Maut Ketika Operasi Banteras Pendatang Tanpa Izin

KANGAR - Operasi mengesan bot yang disyaki membawa pendatang tanpa izin di Sungai Padang, Perlis, bertukar tragedi apabila seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut selepas bot dinaikinya merempuh tembok pantai awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, tiga lagi anggota dilaporkan cedera, manakala mangsa, Bintara Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, dipercayai tercampak ke laut akibat rempuhan.

Kehilangan mangsa hanya disedari selepas rakan setugas mendapati seorang anggota pasukan mereka tidak dapat dikesan sejurus kejadian.

Operasi mencari segera dijalankan sebelum mayat Mohd Roshaimi ditemukan kira-kira sejam kemudian.

Mangsa bertugas di Unit Risikan, Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kedah dan Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, mengesahkan pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa dilihat berkumpul di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah di sini bagi menunggu proses bedah siasat selesai sebelum urusan pengebumian dilakukan.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke Kuala Nerang, Kedah, selepas proses berkenaan selesai.

Bot yang dikejar itu dipercayai membawa sembilan warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah. - Getaran, 27 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved