‘Doakan Papa, papa nak pergi perang’

27 Oct 2026 • 6:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Doakan Papa, papa nak pergi perang’

ALOR SETAR – “Doakan papa, papa nak pergi perang”

Demikian kata anggota Maritim Malaysia (APMM), Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan kepada isterinya, Sajaratul Akmal Abdul Shukor, 41, sebelum keluar operasi yang berakhir tragedi semalam.

Menurut Sajaratul, arwah ada memaklumkan mengenai operasi membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) kepadanya sejak dua hingga tiga hari lalu.

“Arwah sebut papa nak pergi perang, doakan papa. Dia biasa macam itu, jadi saya tidak fikir perkara buruk.

“Sebaik dimaklumkan tentang insiden itu, saya memang terkejut dan sedih. Pemergian arwah sangat memberi kesan kepada kami terutama anak bongsu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Katanya, arwah suaminya sememangnya seorang yang sangat komited terhadap tugas dan sanggup keluar bertugas pada bila-bila masa diperlukan.

“Dia memang minat sungguh dalam bidang itu. Kalau ada cuti pun, orang telefon dia tetap angkat, hujan pun dia pergi. Dia memang minat kerja.

“Kadang-kadang pukul 2 atau 3 pagi pun dia bangun pergi operasi. Saya dah biasa macam itu,” ujarnya.

Jelasnya, arwah bagaimanapun tidak pernah berkongsi secara terperinci mengenai operasi yang dijalankan, sebaliknya hanya memaklumkan lokasi tugasan.

“Dia cuma cakap lokasi operasi secara umum, saya tak ambil tahu sangat mengenai operasi itu,” katanya.

Jenazah arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, Kuala Nerang malam ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kejadian yang meragut nyawa seorang anggota APMM dan mencederakan tiga lagi anggota berlaku ketika mereka sedang mengejar bot membawa PATI.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, bot dinaiki lima anggota dikatakan terlanggar binaan konkrit di perairan Kuala Sungai Padang, dekat sini.

Seorang anggota iaitu Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan dari Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis disahkan meninggal dunia selepas ditemukan dengan kecederaan serius dipercayai pada bahagian kepala. – KOSMO! ONLINE

 

The post ‘Doakan Papa, papa nak pergi perang’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved