
BEAUFORT: Seorang pegawai penjara maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah Perodua Axia yang sedang membuat pusingan U di Jalan Beaufort-Papar, berhampiran simpang Lumat, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Beaufort Superintendan Champin Piuh berkata Mohamad Ikram Jamaludin meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di kepala dengan maklumat awal mendapati mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja ketika kemalangan berlaku kira-kira jam 6.50 pagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort baru-baru ini menahan dua lelaki di Kampung Gana, Membakut.
Pemeriksaan mendapati salah seorang suspek memiliki 0.63 gram bahan disyaki syabu yang ditemukan dalam beg sandangnya, manakala tiada barangan terlarang ditemui pada seorang lagi suspek.
“Kedua-dua suspek dibawa ke pejabat BSJND untuk siasatan lanjut dan tindakan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.






