Pelajar Kolej Komuniti maut motosikal bertembung ambulans

26 Aug 2026 • 7:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar Kolej Komuniti maut motosikal bertembung ambulans
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di simpang lampu isyarat Kampung Air Merbau pada Rabu.

JASIN - Seorang pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans swasta di simpang lampu isyarat Kampung Air Merbau di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 9.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan sekitar jam 10.30 pagi.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Jasin menghala ke Bemban, manakala ambulans dari arah Air Merbau menghala ke Hospital Jasin.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bertembung di tengah jalan di simpang tiga berlampu isyarat berkenaan.

"Polis mendapati pemandu ambulans dipercayai keluar dari simpang ketika lampu isyarat berwarna merah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu ambulans berusia 41 tahun mengalami patah tangan, manakala dua penumpang di dalam kenderaan itu, masing-masing berusia 24 dan 81 tahun, tidak mengalami kecederaan serius.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

“Polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan yang berada di belakang ambulans bagi membantu siasatan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved