
SEOUL: Seorang anggota polis Korea Selatan mengaku menutup kes orang hilang tanpa menjalankan siasatan bagi mengelakkan beban kerja tambahan, menurut pihak berkuasa.
Anggota polis berkenaan, yang dikenali sebagai Bu, ditahan awal bulan ini selepas didakwa menutup kes orang hilang sebelum siasatan selesai di pulau peranginan Jeju, selain memberikan maklumat palsu kepada keluarga mangsa.
Susulan kritikan orang ramai yang semakin memuncak, polis melancarkan semula operasi mencari beberapa individu yang dilaporkan hilang di pulau itu. Empat mayat ditemukan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Skandal berkenaan mendorong Presiden Lee Jae Myung berikrar untuk melakukan pembaharuan terhadap pasukan polis, ketika kerajaan bersiap sedia memberikan lebih banyak kuasa kepada agensi penguat kuasa itu.
Polis Wilayah Jeju pada berkata, Bu didakwa menutup sekurang-kurangnya dua kes berprofil tinggi secara palsu dan berdepan pertuduhan memalsukan rekod elektronik rasmi, menghalang tugas rasmi serta mengabaikan tanggungjawab.
Dalam kedua-dua kes itu, Bu secara palsu mendakwa menghubungi individu yang dilaporkan hilang sebelum menutup kes tanpa mengesahkan keberadaan dan keselamatan mereka.
Dalam siasatan terhadap Bu, polis berkata anggota itu mengakui menutup kes berkenaan secara palsu kerana bimbang beban tugas dan tekanan ketika proses penyerahan kes.
Polis turut berkata mereka percaya Bu mungkin menutup 25 lagi kes orang hilang sebelum siasatan selesai, walaupun sebahagian daripada individu terbabit kemudian disahkan masih hidup dan selamat.- BBC
The post Pegawai polis akui tutup kes orang hilang elak beban kerja appeared first on Utusan Malaysia.






