
GEORGE TOWN: Polis mengesahkan pergaduhan bersenjata di hadapan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Ayer Itam di sini pada 30 Ogos lalu membabitkan ahli kumpulan Geng 04.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kesemua 13 lelaki tempatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan dipercayai terlibat dalam pergaduhan susulan salah faham berkaitan hutang.
Menurutnya, hutang berkenaan bukan membabitkan kegiatan pinjaman wang tidak berlesen, sebaliknya mereka cuba membantu pihak tertentu mendapatkan semula hutang tersebut.
”Ia disebabkan salah faham berkaitan hutang. Bukan hutang along, sebaliknya mereka membantu untuk mengutip semula hutang. Mereka kemudian berbincang tetapi berlaku pergaduhan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini, polis menahan 13 lelaki tempatan termasuk tiga individu bawah umur bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata di hadapan sebuah SJKC di Ayer Itam di sini pada 30 Ogos lalu.
Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 33 tahun, ditahan hasil lima serbuan di sekitar Pulau Pinang bermula pukul 8.19 malam semalam hingga 4.22 pagi.
Mengulas kejadian membabitkan dua mangsa yang ditetak, Dennis berkata, kedua-duanya bukan ahli mana-mana kumpulan terbabit dalam pergaduhan itu, sebaliknya menjadi mangsa salah identiti.
Katanya, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara keagamaan dan mereka dipercayai memakai pakaian berwarna biru hampir sama dengan pakaian ahlli kumpulan terbabit.
”Mereka (suspek) fikir mangsa itu adalah daripada kumpulan berkenaan lalu menyerang dan menetak mereka. Kedua-duanya cedera parah, namun keadaan mereka stabil,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dennis berkata, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana rusuhan bersenjata.-UTUSAN
The post Pergaduhan di Ayer Itam libatkan ahli Geng 04 – Polis appeared first on Utusan Malaysia.






