Pegawai tentera tumbuk kepala ‘kawan’ perempuan tiga kali didenda RM1,700

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 12:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rajakogillan beredar selepas selesai membayar denda tersebut. Foto Sinar Harian

ALOR GAJAH - Seorang pegawai tentera didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menumbuk kepala seorang wanita yang didakwa kekasihnya tahun lalu.

Tertuduh, R Rajakogillan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa berusia 44 tahun dengan cara menumbuk bahagian belakang kepala mangsa sebanyak tiga kali.

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kereta Taman Terendak Heights, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah sekitar jam 7.30 petang pada 5 Oktober 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Jee Chee yang mewakili tertuduh, dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan pengakuan bersalah awal telah menjimatkan masa mahkamah.

“Ini merupakan kali pertama pertuduhan dikenakan terhadapnya dan dia menyesal atas perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.

“Tertuduh memaklumkan kejadian itu berlaku kerana mangsa terlebih dahulu menumbuknya menyebabkan dia hanya bertindak menolak bagi mempertahankan diri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh dan mangsa bukan pasangan kekasih selain tidak mempunyai sebarang hubungan.

Tertuduh juga baru berkahwin dan isterinya hadir bersama di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.