ALOR GAJAH - Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang keluar simpang secara melulu di simpang tiga berhampiran sebuah pasar raya di daerah ini dalam kejadian Rabu lalu.
Dalam kejadian 7.48 malam itu, mangsa, Tai Ee Seng, 20, disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dalam kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR mangsa dengan Perodua Axia dipandu lelaki berusia 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, mangsa sebelum itu dalam perjalanan dari arah Bandar Jelatang menghala ke Dataran Keris.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu dipercayai keluar simpang ke kanan untuk memasuki jalan utama secara cuai sebelum dilanggar motosikal mangsa yang tidak sempat mengelak.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala pemandu kereta dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu kereta juga didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.



