Peguam gesa Komisioner Jeneral Penjara segera pindahkan Najib ke Langgak Duta

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 7:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peguam gesa Komisioner Jeneral Penjara segera pindahkan Najib ke Langgak Duta
Muhammad Farhan (tengah)

SHAH ALAM – Firma guaman Tetuan Shafee & Co yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Komisioner Jeneral Penjara memindahkan anak guamnya ke kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dengan segera sebagaimana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Peguamnya, Muhammad Farhan Shafee berkata, pihaknya turut menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik keputusan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah berkenaan serta-merta.

"Perintah Seri Paduka Baginda mesti dilaksanakan hari ini.

"Pendirian anak guam kami berhubung kesan undang-undang Perintah Pengampunan Bersyarat secara keseluruhannya dan berkaitan hukuman yang dikenakan ke atas beliau kekal terpelihara, begitu juga semua hak beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam masa sama, Muhammad Farhan memaklumkan bahawa beliau mewakili anak guamnya merafak sembah menjunjung kasih atas titah yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada jam 11.45 pagi.

Menurutnya, titah tersebut menjelaskan bahawa mesyuarat Lembaga Pengampunan yang mempersembahkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan Perintah Pengampunan Bersyarat turut dihadiri oleh Peguam Negara.

Selain itu, katanya, titah berkenaan menegaskan bahawa perintah tersebut adalah "jelas, nyata dan tanpa sebarang kekaburan" serta tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain yang melibatkan Najib.

Muhammad Farhan berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran yang menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.

"Semua syarat dalam Perintah Pengampunan Bersyarat telah dipenuhi dan sebarang hujah yang mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.

"Titah tersebut menjawab setiap persoalan yang telah dibangkitkan oleh AGC," katanya.

Beliau berkata, AGC kini dilihat bersandarkan kepada Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurutnya, perintah tersebut perlu dibaca secara keseluruhan bermula daripada tajuk dokumen itu sendiri.

"Ia merupakan perintah yang dibuat susulan pembayaran denda dan pelepasan yang dibenarkan terbit daripada pembayaran tersebut sebagaimana direkodkan dalam perintah itu.

"Di sisi undang-undang, pembayaran denda melepaskan liabiliti untuk membayar denda berkenaan.

"Bagaimanapun, pembayaran itu dengan sendirinya tidak menamatkan hukuman pemenjaraan. Perintah yang sama turut merekodkan bahawa anak guam kami hendaklah menjalani hukuman secara tahanan rumah selaras dengan Perintah Pengampunan sebagaimana turut diakui AGC pada Jumaat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong titah tidak sepatutnya timbul kekeliruan isu tahanan rumah Najib

BN gesa laksana titah perintah Agong segera

Muhammad Farhan berkata, Perintah Pengampunan merupakan pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Kuasa tersebut adalah milik Seri Paduka Baginda semata-mata. Tiada mana-mana mahkamah, apatah lagi Peguam Negara, yang berhak membuka semula persoalan mengenai cara Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa tersebut setelah Baginda menerima nasihat Lembaga Pengampunan yang turut disertai secara aktif oleh Peguam Negara sendiri," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved