Peguam Ibu Zara Qairina Rayu Pendakwaan 5 Remaja Esok Ditangguh, Tuntut Pertuduhan Lebih Berat

LocalPolitics
19 Aug 2025 • 11:04 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Peguam kepada ibu Zara Qairina merayu agar pendakwaan terhadap lima remaja yang terbabit dalam kes buli yang dijadualkan pada Rabu ditangguhkan sementara waktu.

Pasukan peguam memohon penangguhan sementara bagi membolehkan tuduhan lebih berat dikenakan terhadap semua suspek.

Menerusi kenyataan media, pihaknya memaklumkan bahawa mereka baru mengetahui lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.

“Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.

“Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara dapat menangguhkan pendakwaan tersebut buat sementara waktu.

“Kami memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.”

image is not available

Pasukan peguam berkata, sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah, sebarang penemuan baharu hasil inkues atau siasatan lanjut tidak lagi boleh digunakan untuk mendakwa mereka dengan kesalahan lebih berat.

“Kami sangat khuatir jika pendakwaan diteruskan, perkara ini akan terhalang oleh prinsip ‘double jeopardy’ yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara pagi ini melalui emel bagi memohon pertimbangan semula terhadap bentuk pertuduhan yang akan dikenakan.

image is not available

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, lima remaja berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan mengugut melalui komunikasi.

Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (pindaan 2025) itu berkaitan kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang menghina atau mencela, dianggap oleh seseorang yang berkemungkinan mengalami gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.