
KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon Mahkamah Tinggi di sini memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kebocoran dokumen.
Permohonan berkenaan dibuat semasa sesi pemeriksaan semula saksi pendakwaan ke-29, Ketua Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mazery Mohd Zaini yang juga pegawai penyiasat bagi kes melibatkan bekas Perdana Menteri itu.
Sesi yang sepatutnya diteruskan hari ini bagaimanapun terhenti selepas pihak pembelaan mengemukakan bantahan keras terhadap tindakan SPRM membuat laporan polis berkenaan.
Laporan itu susulan dakwaan kebocoran satu dokumen sulit yang mengandungi salinan rakaman percakapan membabitkan bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dalam satu kes berbeza.
Peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, tindakan SPRM membuat laporan polis dengan menamakannya secara peribadi adalah satu bentuk intimidasi serta percubaan mencemarkan reputasinya sebagai peguam.
Katanya, dokumen yang dirujuk dalam prosiding mahkamah tidak diperoleh secara ‘haram’, sebaliknya didapati secara sah mengikut peruntukan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.
“Laporan polis ini merupakan satu bentuk intimidasi terhadap pasukan pembelaan dan percubaan untuk mengelirukan mahkamah serta orang awam.
“Kami memandang serius perkara ini dan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk memulakan prosiding menghina mahkamah serta laporan polis terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Tambah Amer Hamzah, pegawai berkenaan sepatutnya menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu atau bertanya sendiri kepada pihak peguam sebelum membuat laporan polis.
“Saya sedia berdepan apa jua akibat, tetapi untuk membiarkan taktik kotor sebegini oleh seorang saksi yang sedang memberi keterangan adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima.
“Saya faham setiap orang mempunyai peranan masing-masing. Mereka perlu menyiasat, pendakwaan perlu mendakwa, dan kami perlu membela. Namun, ada batas-batas yang tidak sepatutnya kita langgar.
“Laporan yang mereka buat terhadap saya dengan menamakan saya secara peribadi adalah satu isytihar perang,” katanya.
Mendengar perkara itu, Mazery memohon maaf secara terbuka di hadapan mahkamah dan menjelaskan bahawa laporan polis tersebut dibuat demi mempertahankan integriti serta imej jabatannya.
Mazery menyatakan beliau bimbang wujud kebocoran maklumat dalaman daripada pegawai SPRM berhubung dokumen diklasifikasikan sebagai rahsia dan berkaitan kes lain yang digunakan pihak pembelaan semasa sesi soal balas.
“Saya ingin memohon maaf kepada peguam terutama Datuk Amer berkenaan laporan yang dibuat. Sebenarnya saya bimbang ada kebocoran maklumat dari pegawai dalamsn SPRM, laporan (polis) itu untuk lihat ada atau tidak kebocoran di pihak SPRM sendiri.
“Langsung tiada niat di hati saya untuk merosakkan imej peguam. Saya buat untuk jaga imej jabatan sendiri. Sekiranya tiada ruang kebocoran dalam kalangan pegawai, saya akan tarik (balik) laporan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon maaf kepada pihak pembelaan dan memberi ruang kepada Mazery untuk menjelaskan situasi sebenar berhubung isu laporan polis berkenaan.
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin kemudian memutuskan untuk menangguhkan sesi pemeriksaan semula terhadap Mazery bagi membolehkan beliau menjalankan semakan dalaman serta menyelesaikan isu laporan polis tersebut. – UTUSAN
The post Peguam Muhyiddin mohon prosiding hina mahkamah terhadap pegawai penyiasat SPRM appeared first on Utusan Malaysia.





