
PETALING JAYA – Peguam yang mewakili dua anggota Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sebarang dakwaan bahawa anak guam mereka bertindak sebagai ‘ulat’ atau terlibat dalam kegiatan ‘counter setting’.
Dua anggota tersebut, Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad ketika itu sedang menjalankan tugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1).
Peguam yang mewakili, Kamal Hisham Jaafar berkata sebarang dakwaan sedemikian perlu disokong dengan bukti dan tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada dakwaan bahawa kedua-dua anggota berkenaan dikasari ketika sedang menjalankan tugas rasmi.
“Selepas kejadian tersebut, terdapat kenyataan melalui media sosial dan saluran rasmi yang, menurut anakguam kami, telah memberikan gambaran yang berbeza daripada keadaan sebenar yang berlaku.
“Kami berpandangan bahawa sebarang kenyataan awam berhubung perkara yang masih dalam siasatan hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab dan tidak seharusnya menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Isu utama adalah dakwaan bahawa Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah mengasari kedua-dua anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kamal Hisham, kedua-dua anggota itu mendakwa dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika menjalankan tugasan rasmi di KLIA1 pada 28 September lalu.
Dakwanya, kejadian terbabit menyebabkan kedua-dua anak guam mereka mengalami kecederaan selain menjejaskan maruah mereka sebagai penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi.
“Perlu ditegaskan bahawa AKPS bukan merupakan sebahagian daripada PDRM dan kedua-dua agensi tersebut mempunyai fungsi serta bidang kuasa yang berbeza,” katanya.
Kamal Hisham berkata, berdasarkan fakta serta keterangan yang sedang dikemukakan kepada pihak berkuasa, tindakan yang didakwa berlaku berpotensi membabitkan peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Bagaimanapun, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh serta menentukan sama ada wujud sebarang kesalahan berdasarkan bukti dan fakta diperoleh.
Terdahulu, tular rakaman video berhubung kejadian di KLIA Terminal 1 pada 28 September lalu yang mencetuskan dakwaan dua anggota polis dikasari.
Mohd. Shuhaily kemudiannya menjelaskan kejadian berlaku ketika beliau bersama pasukannya menjalankan tinjauan kesiapsiagaan AKPS di KLIA sebelum operasi terhad terhadap kegiatan sindiket ‘ulat’ warga asing dijalankan bersama anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
Beliau dilaporkan berkata, operasi penguatkuasaan ketika itu hanya melibatkan AKPS dan AVSEC, manakala dua individu yang tidak dikenalinya kemudian dilihat merakam kejadian sebelum diarahkan memadamkan rakaman tersebut.
Mohd. Shuhaily turut menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa dan menyatakan kesediaan menerima apa juga keputusan kerajaan berhubung insiden berkenaan.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan telah menerima kertas siasatan berhubung kes itu dan akan meneliti keterangan saksi, rakaman CCTV serta bukti lain sebelum menentukan tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
The post Peguam nafi dua anggota Cawangan Khas ‘ulat’, terlibat ‘counter setting’ appeared first on Kosmo Online.





