Peguam Naim Daniel Failkan Bantahan, Mangsa Perlu Dibicarakan Secara Normal Kerana Bukan Lagi Bawah 18 Tahun

Entertainment
19 Sep 2025 • 11:30 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Hari ini, Mahkamah Majistret Putrajaya menetapkan tarikh perbicaraan kes dakwaan amang seksual penyanyi Naim Daniel terhadap seorang remaja bawah umur akan berlangsung selama tiga hari pada 15,16 dan 18 Disember depan.

Peguam yang mewakili Naim, Amirul Ridzuan Hanif, Mohd. Irwan Sumadi serta Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique memaklumkan bahawa mereka turut akan mengemukakan bantahan terhadap perbicaraan secara pautan video yang dipohon oleh pihak plaintif.

“Namun, pihak pembelaan kami pula membuat permohonan secara rasmi untuk berhujah untuk membantah permohonan daripada pihak pendakwaan.

Bantahan tersebut kami failkan adalah disebabkan mangsa bukan lagi berumur bawah 18 tahun. Jadi, mangsa perlu dibicarakan secara normal,” katanya.

Beliau menyatakan, hasil bantahan tersebut adalah bergantung kepada keputusan pihak hakim pada 17 Oktober depan.

Pengurusan kes hari ini berlangsung di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Sebelum ini, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, pada 17 Jun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit hotel di Petaling Jaya, Selangor pukul 8.56 malam pada 19 Mei lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

 

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.