
PUTRAJAYA – Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjaya dalam permohonan memperoleh kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman berhubung prosiding pendakwaan dalam kes Yayasan Akalbudi.
Ia berikutan apabila keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Hashim Hamzah membenarkan permohonan kebenaran merayu selain mendapati kes berkenaan membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam.
Dalam mana-mana kes sivil, pihak-pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh berbuat demikian.
Semasa penghakiman ketika membenarkan permohonan itu, Hakim Hashim berkata, persoalan berkenaan memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.
“Kes ini berkaitan ambang untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman apabila budi bicara pendakwaan Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dicabar,” katanya.
Dua lagi hakim yang turut ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Dalam prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang bertindak bagi Peguam Negara, peguam Datuk S Ambiga dan Steven Thiru mewakili Badan Peguam.
Sementara peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan Ahmad Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua 47 pertuduhan selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara mahu memberhentikan prosiding terhadapnya.
Presiden UMNO sebelum itu diperintahkan membela diri selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Januari 2022 mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesemua pertuduhan.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan.
Selepas DNAA diberikan, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara menghentikan pendakwaan dan memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid.
Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Badan Peguam untuk mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023 yang menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid, dengan memutuskan bahawa permohonan itu bukan bersifat remeh dan membangkitkan isu undang-undang yang boleh dihujahkan serta wajar didengar sepenuhnya.
Susulan itu, pada 26 Mei, Ahmad Zahid telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan Badan Peguam mencabar keputusan pihak pendakwaan untuk menghentikan semua prosiding lanjut terhadap beliau dalam kes Yayasan Akalbudi.
Beliau telah mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonannya itu mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. – KOSMO! ONLINE
The post Peguam Negara, Ahmad Zahid dibenar rayu keputusan Mahkamah Rayuan appeared first on Kosmo Online.






