Peguam Negara perlu kemuka alasan DNAA, elak sistem pilih kasih

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 11:38 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Peguam Negara perlu kemuka alasan DNAA, elak sistem pilih kasih

PUTRAJAYA- Peguam Negara (AG) diwajibkan membuat satu kenyataan akhbar penuh bagi menjelaskan alasan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) melibatkan kes ahli politik, penjawat awam JUSA ke atas atau kes membabitkan jumlah wang besar termasuk yang melebihi nilai RM1 juta.

Menurut seorang peguam, Dr. Zulqarnain Lukman, alasan tersebut perlu disiarkan di dalam laman web Pejabat Peguam Negara (AGC) supaya ia kekal menjadi bahan rujukan yang mana berperanan mengelakkan tohmahan bahawa wujud sistem pilih kasih.

Beliau berkata, undang-undang berkaitan DNAA ini telah termaktub di dalam Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah dan ia adalah undang-undang yang sah dan telah diguna pakai semenjak sekian lama.

Namun, katanya, persoalan yang bermain di fikiran rakyat adalah adakah orang politik boleh mendapat faedah daripada penggunaan seksyen ini kerana faktor mereka akrab dengan pihak yang mempunyai kuasa atau adakah apa-apa tekanan politik yang menyebabkan mereka mendapat DNAA.

“Jika terlalu ramai ahli politik yang pada mulanya dituduh di mahkamah dan kemudiannya dilepaskan secara DNAA, ini mewujudkan jurang defisit keyakinan (trust deficit) dan perkara itu adalah suatu yang tidak bagus,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebanyak 19 kes membabitkan 12 ahli politik diberikan DNAA di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah seluruh negara, antara 2010 hingga Julai lalu.

Jumlah itu berdasarkan input diterima daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) serta semakan terhadap rekod kes jenayah di mahkamah.

Zulqarnain berkata, jawapan Azalina itu juga adalah satu jawapan yang tergantung apabila beliau enggan mendedahkan nama siapakah ahli politik yang diberikan DNAA.

Mengulas lanjut, Zulqarnain berkata, fungsi asal DNAA di bawah seksyen 254 itu perlu dikembalikan kerana jika pendakwa raya berasa bukti tidak cukup mereka boleh lepaskan dan sambung siasatan.

Katanya, setelah siasatan lengkap mereka boleh membuat pertuduhan semula. Begitu juga jika berlaku keadaan yang mana saksi utama sakit, mati atau lari yang boleh menyebabkan pendakwa raya kalah kes, adalah lebih baik untuk pendakwa raya memohon DNAA untuk mengelakkan membazir masa dan kos.

“Masalah di bawah seksyen 254 ini adalah tiada tempoh masa ditetapkan untuk pendakwa raya membuka pertuduhan semula. Bayangkan jika hal itu tertangguh selama 10 tahun maka ia akan menyusahkan saksi dan pihak-pihak,” katanya.

Untuk menambah baik seksyen 254, katanya, suatu tempoh masa perlu ditetapkan contohnya 24 bulan masa diberikan kepada pendakwa raya untuk melengkapkan siasatan dan membuat pertuduhan semula. – KOSMO! ONLINE

The post Peguam Negara perlu kemuka alasan DNAA, elak sistem pilih kasih appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved