
KINABATANGAN: Sebuah bangunan pejabat di Ladang Leepang 2, Kinabatangan, terbakar 90 peratus dalam kebakaran awal pagi Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan PPgB Suriyadi bin Drawis berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada 5.17 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan bergerak ke lokasi kejadian yang terletak 140 kilometer dari balai berkenaan.
Anggota bomba tiba di lokasi pada 9.18 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan pejabat kekal.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos, manakala operasi pemeriksaan dan pengawalan terus dilakukan bagi memastikan tiada risiko kebakaran berulang.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.
Operasi membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, terdiri daripada empat anggota dengan jentera bomba CFRT-1 dan dua anggota dengan kenderaan VIGO-1.
Suriyadi berkata komunikasi di lokasi kejadian adalah terhad berikutan ketiadaan liputan GIRN dan telefon.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.



