Pejalan kaki maut dilanggar kereta

23 Aug 2026 • 6:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pejalan kaki maut dilanggar kereta
Seorang lelaki maut selepas dilanggar kereta ketika melintas jalan di Lebuhraya Sprint arah Plaza Tol Damansara, Petaling Jaya.

PETALING JAYA - Seorang lelaki dipercayai warga asing maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Lebuhraya Sprint arah Plaza Tol Damansara di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan maut itu melalui sistem MERS999 kira-kira jam 10.26 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10 malam ketika sebuah Honda City dipandu lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an dari arah Damansara menghala ke Putra Heights.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba seorang lelaki melintas jalan dari arah kanan ke kiri.

"Akibat jarak yang dekat, pemandu kereta itu tidak sempat mengelak sebelum melanggar pejalan kaki berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mangsa dipercayai warga asing, namun identitinya masih belum dikenal pasti," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian atau waris yang mengenali mangsa supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Nazreen Nasharuddin di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved