ALOR SETAR - Pengerusi Badan Bertindak Petani, Che Ani Mat Zain yang aktif memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pesawah sejak lebih 20 tahun lalu meninggal dunia akibat strok pada malam Ahad.
Allahyarham yang berusia 71 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.39 malam ketika menerima rawatan di Hospital Alor Setar di sini.
Che Ani yang juga Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) sebelum ini lantang menyuarakan pelbagai isu berkaitan kebajikan petani termasuk masalah kelewatan pembekalan baja kepada pesawah.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kesihatan Allahyarham semakin merosot selepas kali terakhir menyertai himpunan bagi memperjuangkan nasib pesawah pada 13 Ogos lalu di Pida 5, Jerlun.
Menurutnya, Allahyarham tetap hadir pada himpunan aman berkenaan meskipun ketika itu sudah mengalami masalah kesihatan.
"Ketika himpunan itu, kami menyuarakan isu kelewatan pembekalan baja yang dihadapi pesawah dan arwah turut bersama menyampaikan pandangan selain ditemubual wartawan.
"Selepas himpunan berkenaan, saya dimaklumkan keadaan kesihatan arwah semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut Abdul Rashid, penglibatan Allahyarham dalam memperjuangkan isu petani menunjukkan komitmen beliau terhadap nasib golongan berkenaan sehingga ke penghujung hayatnya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan pada jam 11 pagi pada Isnin di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Lubuk Ayer, Ayer Hitam, Kubang Pasu.



